BAYAN LEPAS – Semua pihak dalam Barisan Nasional (BN) perlu akur dengan keputusan yang akan dibuat Majlis Presiden BN dan Pakatan Harapan (PH) bagi mencapai kata persefahaman dalam pembahagian kerusi bagi pilihan raya negeri (PRN) dijangka Ogos depan.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan terakhir itu tidak boleh dirunding bagi memastikan gerak kerja pilihan raya berjalan lancar,
Bagaimanapun, beliau memaklumkan, keputusan mengenai pembahagian kerusi yang masih belum selesai akan diketahui dalam dua hingga tiga hari lagi.
“Kita sudah pun bertemu pada peringkat Majlis Presiden, terpulang kepada keputusannya dalam masa dua tiga hari lg kita akan dapat tahu dan itu adalah kata putus.
“Apabila majlis presiden telah pun memutuskan, saya harap supaya semua pihak di peringkat negeri akurlah dengan keputusan yang telah dibuat. Kalau tidak, tak ada kesudahannya nanti susah.
“Kalau kita tak akur dan tak memperakukannya nanti ada perasaan tak puas hati dan akhirnya kita tak dapat mengurus pilihan raya dengan baik. Paling penting sekarang ini kita nak menang,” katanya kepada pemberita sebelum mengadakan pertemuan secara tertutup dengan pimpinan UMNO Pulau Pinang di Hotel Eastin di sini, hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai cabaran menghadapi gelombang Perikatan Nasional (PN), Mohamad berkata, pihaknya tidak nampak apa-apa gelombang, selain perlu memperkasakan diri dalam menghadapi PRN di enam negeri.
“Gelombang tak sentiasa ada gelombang kan, akan ada surutnya.
Jadi kalau kita perkasakan parti kita dan gerak kerja yang baik, gelombang macam mana pun kita mampu menahan dengan benteng sekali gus menolak gelombang itu semula ke belakang InsyaAllah,” katanya. – MalaysiaGazette