Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan (kanan) menyampaikan taklimat kepada Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat (kiri) dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (dua, kiri) mengenai operasi mencari lapan mangsa dikhuatiri lemas dalam kejadian kepala air di Jeram Mawar, Air Putih ketika tinjauan di Pusat Kawalan Operasi, Balai Polis Air Putih hari ini.

CHUKAI – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lapan lagi mangsa yang masih hilang dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, di sini, dibahagikan kepada tiga sektor pencarian dengan keluasan radius pencarian 32 kilometer (km).

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan berkata, sektor pertama pencarian dari lokasi kejadian hingga lapan km; sektor kedua dari Balai Polis Air Putih ke Empangan Sungai Pinang (lapan km hingga 15 km) dan sektor ketiga bermula dari Sungai Pinang menghala muara Sungai Kemaman (15 km ke atas).

“Radius pencarian bertambah ke 32 km disebabkan arus air yang deras kerana berlakunya hujan lebat pada malam tadi. Ketika ini pun didapati arus air masih deras dan menunjukkan tren peningkatan,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sehingga pagi ini pasukan pencarian yang melibatkan 163 anggota daripada pelbagai agensi yang diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu belum menemui sebarang petunjuk keberadaan mangsa.

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk di sepanjang sungai bermula dari Air Putih hingga ke Chukai untuk menyalurkan maklumat jika menemui sebarang petunjuk kepada pihak polis.

“Apa-apa sahaja, baik objek atau bau, sila maklumkan kepada Balai Polis Air Putih sama ada melalui panggilan telefon atau datang ke sini untuk salurkan kepada kita bagi membantu operasi SAR,” katanya.

Katanya pasukan SAR melibatkan seramai 30 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), JBPM (65), Pasukan Gerakan Am (PGA) (46), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) (empat), badan bukan kerajaan (empat), pasukan khas teknikal oleh orang awam (sembilan) serta dibantu dua unit anjing pengesan K9 JBPM.

Sementara itu, Pengarah JBPM Terengganu, Hassan ‘As’ari berkata, fokus operasi pada hari ini lebih tertumpu kepada sektor pertama melibatkan pasukan dari PDRM, JBPM dan PGA.

“Kita rasa mungkin di situ sebab ada tanda-tanda… mangsa pertama kita jumpa 24 km dari tempat kejadian yang bermaksud tidak jauh dari muara Sungai Kemaman.

“Mangsa kedua jumpa pada jarak dua km dari tempat kejadian. Bermakna ada kemungkinan… sebab mayat kedua dijumpai tersangkut di dahan pokok, jadi ada kemungkinan mangsa-mangsa lain pun akan kaedahnya sama macam itu,” katanya.

Hassan berkata, pihaknya akan melihat kepada pelbagai elemen secara terperinci terutamanya membabitkan keselamatan pasukan SAR dalam radius pencarian lebih-lebih lagi apabila penilaian JBPM hari ini mendapati aliran arus sungai masih deras.

“Berkaitan akses ke lokasi pula, sebenarnya kita ada strategi yang telah dirancang selain menempatkan satu pasukan pada setiap lima ke tujuh km untuk buat pencarian di kawasan sekitar,” katanya.

Semalam, 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang datang berkelah di Jeram Mawar, di sini pada Sabtu sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.

Dua mayat pertama telah ditemukan orang ramai tengah hari semalam iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anaknya Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11.

Lapan yang masih hilang terdiri daripada tujuh sekeluarga iaitu Karim Abdullah, 39; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.

Seorang lagi individu yang hilang adalah tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat, Johor yang turut serta dalam perkelahan itu. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast