Mohd Muaz (kiri) ketika meninjau kawasan Air Terjun Seri Perigi di Yan hari ini. Gambar ihsan -APM.

ALOR SETAR – Sebanyak 39 kawasan peranginan dan rekreasi membabitkan 10 daerah dalam negeri ini dikenal pasti berisiko tinggi boleh berlaku kejadian kepala air.

Antara daerah itu adalah Kuala Muda, Sik, Yan, Pendang, Padang Terap, Kubang Pasu, Langkawi, Bandar Baharu, Kulim dan Baling.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, daerah Baling didapati mempunyai kawasan berisiko tertinggi iaitu 11 lokasi dan diikuti Yan (enam), Sik (lima) dan masing empat lokasi di Langkawi serta Kulim.

Jelas beliau, bagi Kuala Muda, sebanyak tiga lokasi dikenal pasti berisiko tinggi diikuti masing-masing dua lokasi di Kubang Pasu serta Padang Terap manakala satu di Pendang dan Bandar Baharu.

Antara kawasan rekreasi itu adalah Lata Bukit Hijau, Lata Celak Iboi, Teratak Simpul, Air Panas Ulu Legong, Lubuk Badak, Sungai Pam, Lata Baling, Lubuk Pedati, Lata Nering, Lata Bay, Perangin Bukit Wang, Sungai Batu, Kem Rekreasi Ulu Paip, Pusat Rekreasi Air Putih Junjong dan Kuala Kedua.

Air Terjun Sungai Seraya, Lubuk Semilang, Taman Eco Rimba Puncak Janing, Durian Perangin, Telaga Tujuh, Air Terjun Temurun, Rimba Rekreasi Bukit Perak, Batu Hampar Air Putih, Air Terjun Batu Pahat, Lata Mengkuang, Pusat Peranginan Tapah dan Damai Park Resort.

Selain itu, Pusat Peranginan Rimba Taqwa, Lata Charok Rambai, Lata Batu Hampar Hujung Bandar, Sungai Viral, Titi Hayun, Air Terjun Seri Perigi, Air Terhun Baru Hampar, Taman Rekreasi Sungai Badak, Sungai Bukit Kuari, Kem Rekreasi Sungai Sedim dan Kem Rekreasi Puteri Mandi, katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Mohd Muaz, orang ramai dinasihatkan peka dengan tanda-tanda awal kejadian kepala air antaranya air bertukar menjadi keruh, mengalir laju dengan disertai ranting kayu atau daun kering.

Antara tanda lain termasuk deruan air deras dari atas gunung/bukit, awan bertukar gelap di bahagian atas gunung/bukit, gelombang aliran air dalam kuantiti yang besar serta air sungai berbuih.

“Sehubungan itu, kita harap orang ramai sentiasa berjaga-jaga serta mengambil langkah keselamatan awal sekiranya berkhemah atau beriadah.

“Pengunjung juga dinasihatkan meninggalkan kawasan jika hujan lebat dan tidak selamat,” kata beliau. – MalaysiaGazette