Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim membuat lawatan lokasi projek pelebaran Persiaran Mohktar Dahari, di Puncak Perdana di Shah Alam, Selangor.

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) akan mempertahankan lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada 12 Ogos ini.

Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim berkata, parti itu telah mengetahui jumlah calon yang akan bertanding dan kini pihaknya terbuka untuk melakukan pertuaran kerusi dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH) atau Barisan nasional (BN).

“Setakat ini ada dengar (berkaitan pertukaran) tapi belum lagi ada apa-apa (tindakan), kita masih ada masa. Kita bukan semata-mata mahu bertanding sahaja tapi nak tengok juga keboleh kemenangan di tempat itu,” katanya .

Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim membuat lawatan lokasi projek pelebaran Persiaran Mohktar Dahari, di Puncak Perdana di Shah Alam, Selangor.

Beliau berkata demikian kepada selepas meninjau kemajuan projek pelebaran Persiaran Mohktar Dahari, di Puncak Perdana, di sini, hari ini.

Menurut Izham berkata, Amanah Selangor bertekad untuk memastikan parti itu atau Kerajaan Perpaduan mampu memperoleh kemenangan pada PRN ini bagi membentuk kerajaan negeri yang stabil dan kukuh.

“Amanah perlu memastikan semua lapan kerusi ini menang bagi memastikan PH mendapat majoriti dua per tiga kerusi di Selangor untuk membentuk kerajaan. Perkara itu sudah terbukti dalam tempoh lima tahun ini.

“Kalau mengikut kajian kita ada kerusi yang selamat, ada kerusi yang berisiko, ada kerusi yang kita agak membimbangkan, jadi kita bagi tumpuan pada kerusi-kerusi yang kelabu hitam,” ujarnya.

Ditanya mengenai kriteria calon Amanah Selangor yang akan diketengahkan pada PRN, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah itu berkata, partinya akan menampilkan 50 peratus muka baharu.

Ujarnya, penampilan calon boleh menang dan pemilihan jantina diambil kira namun kata putus akan dilakukan pucuk pimpinan.

“Calon Amanah dijangka balance. Saya tak boleh nak umum siapa-siapa, tetapi saya beritahu kombinasi antara penyandang, muka baharu dan orang lama yang diberi nafas baharu.

“Kita juga akan beri keutamaan untuk mengekalkan 30 peratus calon wanita dalam Amanah tapi masalah sekarang bukan calon tapi kerusi tidak cukup. Calon ramai, saya rasa parti lain pun sama. Ada ahli yang sudah tempah baju pun ada,” ujarnya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Amanah memenangi lapan kerusi iaitu di Sabak, Meru, Pandan Indah, Hulu Klang, Morib, Seri Serdang, Sungai Ramal dan Taman Templer. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast