Esteban Solari. Foto Facebook JDT.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki terutamanya daripada segi fokus meskipun menang 6-1 ke atas Kuala Lumpur City FC untuk aksi Liga Super, kelmarin.

Ini berikutan Kuala Lumpur menjadi pasukan ketiga selepas Kelantan FC dan Terengganu FC yang berjaya menembusi gawang JDT di pentas liga setakat ini.

Bagi Solari, anak buahnya telah menampilkan persembahan menyakinkan dalam tempoh separuh masa pertama untuk meraih jaringan berganda namun corak permainan kian lemah di babak kedua sehingga memberi ruang kepada lawan meledak gol.

Bagaimanapun, beliau merasakan kelalaian barisan pemain ketika itu antara aspek yang akan diambil kira sebagai penambahbaikan agar ia tidak berulang lagi terutamanya pada aksi final Piala FA, 22 Julai ini.

“Kami bermain dengan cukup baik pada separuh masa pertama di mana pemain-pemain berusaha keras untuk mencari jaringan.

“Tetapi ia berbeza pada separuh masa kedua apabila mereka tidak boleh mengekalkan rentak permainan dan saya percaya ianya tidak mudah walaupun kami dah dapat empat gol pada babak pertama.

“Penting sebenarnya untuk terus kekal tanpa bolos tetapi kami hilang fokus sehingga lawan boleh pegang bola.

“Sudah tentu banyak yang kita perlu perbaiki dan salah satunya adalah fokus untuk pemain kekal menumpukan perhatian,” katanya.

Kemenangan berterusan JDT itu mengekalkan mereka di takhta liga dengan 45 mata setakat ini.

Dalam aksi Liga Super lain yang turut berlangsung kelmarin adalah Terengganu FC yang menang tipis 1-0 ke atas Kedah Darul Aman FC.

Pengendalinya, Tomislav Steinbruckner tetap puas walaupun pasukannya hanya menjaringkan satu gol sahaja apatah lagi tanpa kehadiran tonggak utama seperti Argzim Redzovic dan Ivan Mamut.

“Saya boleh katakan saya puas dengan satu gol menerusi Engku Nur Shakir dan Nik Sharif Haseefy melakukan tugas yang baik.

“Jika kami dapat menambah jaringan lebih awal sudah pasti akan dapat memberi kelebihan kepada kami dan kita kena berhempas pulas untuk tiga mata ini.

“Tetapi saya tidak boleh salahkan pemain-pemain saya dan cukup bagus kami dapat menang kelmarin,” jelasnya.

Keputusan lain menyaksikan Selangor FC kekal di tangga kedua selepas menang 2-1 ke atas Kuching City FC. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast