Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jumlah kes demam denggi tahun ini mencatatkan penurunan dengan sebanyak 226 kes, atau 8 peratus, kepada 2,582 kes pada Minggu Epidemiologi ke-25 (ME25).

Ia adalah bagi tempoh 18 Jun hingga 24 Jun, berbanding 2,808 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Beliau berkata, tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME25, namun lokaliti hotspot pula meningkat kepada 130 lokaliti berbanding 110 lokaliti pada Minggu Epidemiologi ke-24 (ME24).

“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME25 sebanyak 56,721 kes berbanding 23,183 kes bagi tempoh sama 2022, iaitu peningkatan sebanyak 33,538 atau 144.7 peratus.

“Sebanyak 39 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding 16 kematian bagi tempoh sama pada 2022,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu Dr Muhammad Radzi berkata, tiada kes chikungunya direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-25 dengan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 137 kes.

“Bagi survelan zika pula, sebanyak 1,461 sampel darah dan 76 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai agar memastikan tiada bekas-bekas potensi pembiakan Aedes atau struktur yang boleh menakung air di persekitaran premis.

“Barang-barang lusuh yang tidak diperlukan seperti perabot lama, akuarium terpakai, tong cat terpakai, pelbagai bekas terpakai dan sebagainya hendaklah di buang secara berhemah atau dilakukan proses kitar semula.

“Gunakan bahan pembunuh jentik-jentik di bekas takungan air seperti di tangki pam tandas atau kolah air.

“Tutup rapat bekas penyimpanan air serta pastikan penapis air, alas pinggan dan alas pasu dalam keadaan kering. Mencegah lebih efektif daripada mengubati. Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika,” ujarnya. – MalaysiaGazette