Pengkelasan pendapatan isi rumah sepatutnya menggambarkan kemampuan sebenar berbelanja. Gambar hiasan oleh Mathieu Stern

SESETENGAH ahli ekonomi berpendapat bahawa pengkelasan pendapatan berdasarkan kategori B40, M40, dan T20 adalah kurang wajar kerana kaedah ini bersandarkan kepada jumlah pendapatan isi rumah secara kasar semata-mata tanpa melihat komitmen yang ditanggung mereka. Ini kerana dalam menilai garis kemiskinan, pelbagai faktor seharusnya diambil kira termasuklah saiz keluarga dan juga kuasa beli sesebuah isi rumah.

Baru-baru ini Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengumumkan bahawa bermula tahun 2024 kerajaan bercadang untuk menghapuskan pengkelasan pendapatan berdasarkan kategori B40, M40, dan T20 dan beralih kepada pengkelasan mengikut pendapatan bersih boleh guna. Menurut beliau, pendapatan boleh guna atau turut dikenali sebagai pendapatan selepas ditolak cukai dapat memberi gambaran yang lebih baik dalam mengukur kemampuan kewangan sesebuah isi rumah untuk berbelanja, menyimpan dan juga membuat pelaburan.

Namun begitu, pengkelasan berdasarkan pendapatan kasar mahupun pendapatan boleh guna mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Contohnya, pengkelasan melalui pendapatan kasar seperti B40, M40, dan T20 dilihat lebih mudah untuk dikira kerana ia mewakili jumlah pendapatan yang diperolehi isi rumah sebelum sebarang potongan dibuat. Selain itu, pengkelasan ini juga dapat mengukur keupayaan sesebuah isi rumah dalam menjana pendapatan.

Maklumat ini diperlukan sebagai tanda aras kepada prospek kerjaya serta peluang pekerjaan di sesebuah negara. Pegelasan isi rumah melalui pendapatan kasar juga turut berperanan dalam penetapan dasar cukai negara selain menjadi ukuran asas kepada penunjuk makroekonomi seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Walau bagaimanapun, adalah penting untuk kita sedari bahawa pengkelasan isi rumah berdasarkan pendapatan kasar seperti B40, M40, dan T20 adalah kurang berkesan dalam mengenal pasti ketidakseimbangan atau jurang pendapatan dalam sesebuah masyarakat. Ini kerana, ia tidak mengambil kira kos sara hidup yang berbeza bagi setiap isi rumah seperti jumlah tanggungan mereka.

Oleh itu, pengkelasan berdasarkan pendapatan boleh guna yang dicadangkan kerajaan dilihat mampu menjadi kayu ukur yang lebih relistik tentang kuasa beli sesebuah isi rumah. Contohnya, seorang bapa di Kuala Lumpur yang mempunyai 10 orang anak mungkin dikategorikan sebagai T20 berdasarkan pendapatan kasarnya. Namun status bapa yang mempunyai komitmen keluarga yang sangat tinggi ini boleh berubah kepada kategori B40 berdasarkan pengkelasan melalui pendapatan boleh guna.

Walaupun pengkelasan melalui pendapatan boleh guna dilihat lebih kompleks dan sukar, pengkelasan ini dilihat mampu memberikan perspektif yang lebih komprehensif dan tepat tentang situasi kewangan serta kuasa beli sesebuah isi rumah itu. Justeru, pelbagai faktor termasuk saiz keluarga, kos sara hidup serta kuasa beli perlu dipertimbangkan dalam menilai garis kemiskinan sesebuah isi rumah itu.

Ini kerana tidak semestinya kuasa beli mereka yang berpendapatan tinggi adalah tinggi. Pendekatan baharu yang dicadangkan oleh pihak kerajaan untuk mengelaskan isi rumah mengikut pendapatan boleh guna adalah wajar disokong. Ini kerana pendekatan ini dilihat dapat membantu meminimumkan kesilapan dalam perkara berkaitan pemberian bantuan atau subsidi oleh kerajaan.

Prof. Madya Dr. Mohd Edil Abd Sukor
Profesor Madya di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi,
Universiti Malaya