Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu mengukuh susulan minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS yang menunjukkan Rizab Persekutuan (Fed) komited untuk menaikkan kadar faedah selepas dihentikan sementara pada Jun, kata ahli ekonomi.

Pada 9 pagi, unit tempatan merosot kepada 4.6630/6670 berbanding dolar AS daripada 4.6485/6555 pada Rabu.

Indeks Dolar AS (DXY) dilaporkan naik 0.31 peratus kepada 103.358 mata.

Ketua Ekonomi dan Ketua Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pasaran juga sedang menunggu keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai kadar dasar semalaman (OPR) dan penilaian terkininya mengenai ekonomi hari ini.

“Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM akan membincangkan keputusan mereka mengenai OPR hari ini. Oleh itu, ringgit akan berada pada sekitar 4.65 (berbanding dolar AS),” katanya kepada Bernama.

Mesyuarat MPC selama dua hari telah bermula semalam, dan menurut seorang penganalisis, bank pusat itu dijangka mengekalkan OPR pada 3.0 peratus.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding euro kepada 5.0584/0628 daripada 5.0641/0717 pada Rabu, berkurangan berbanding yen Jepun kepada 3.2330/2360 daripada 3.2221/2272 dan rendah berbanding pound kepada 5.9201/9252 daripada 5.9101/9190 semalam.

Mata wang tempatan turut diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN lain kecuali berbanding baht Thailand yang meningkat kepada 13.3183/3362 daripada 13.3237/3510 semalam.

Ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.4454/4486 daripada 3.4380/4437 pada Rabu, susut berbanding rupiah Indonesia kepada 310.4/310.9 daripada 309.4/310.1 dan berkurangan berbanding peso Filipina kepada 8.40/8.42 daripada 8.39/8.41 semalam.  – BERNAMA

1 Komen

  1. Ringgit merosot lagi? OPR dijangka naik lagi?

    Apa menteri2 pakatan hancing dah buat? Tak ada ke usaha2 mengekang kejatuhan ringgit dibuat? Tak ada ke pelan ekonomi jangka pendek jangka panjang? Kalau ada buatlah road show terang kepada rakyat.

Comments are closed.