BATU PAHAT – Jenazah mangsa kesembilan mangsa lemas dalam tragedi fenomena kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman Muhammad Fikri Saliman, 24, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Kuda,Semerah Batu Pahat pukul 7 pagi tadi.
Jenazah Muhammad Fikri dibawa pulang ke kampung kelahirannya di Kampung Parit Kuda, Semerah, Batu Pahat, Johor dengan van jenazah serta diiringi Unit Kereta Peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman pada jam 10.30 malam tadi.
[videopress SziKZqya]
Jenazah Allahyarham tiba di Masjid Seri Pengkalan Batu Pahat pukul 4 pagi.
Menurut ahli keluarganya, jenazah Allahyarham telah selesai dimandi, dikafankan dan disembahyangkan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Terengganu.
Arwah merupakan anak bongsu daripada lima adik beradik.
Mayat Muhammad Fikri yang juga tunang kepada Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, seorang daripada mangsa lemas ditemui jam 9.20 pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 hingga 6 petang, Sabtu lalu, sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Pahang dan Muhammad Fikri dihanyutkan kepala air di Jeram Air Putih berikutan hujan lebat berlaku.- MalaysiaGazette