Nor Azah (kiri) berbual dengan Samsuddin ketika ditemui di rumahnya di Sungai Dua, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Exco Srikandi Bersatu Malaysia, Nor Azah Abdul Aziz menyifatkan video tular memaparkan perselisihan faham dengan keluarganya itu sengaja ditularkan untuk mencemarkan reputasinya dalam politik.

Berdasarkan video tular berdurasi 30 saat itu memaparkan pertengkaran mulut antara Nor Azah dengan keluarga sepupunya Shamsuddin Ismail, 65, di sebuah pangsapuri di Sungai Dua di sini.

Jelas Ketua Srikandi Bukit Gelugor itu, kejadian tersebut berlaku pada 2018 dan ditularkan ketika dia bertanding jawatan Exco Srikandi.

“Memang berlaku salah faham antara saya dan keluarga sepupu itu tak dinafikan namun perkara itu sudah diselesaikan secara perbincangan sesama keluarga selepas kematian ibu saya.

“Malah perselisihan faham adalah perkara biasa berlaku dalam sesebuah keluarga kini kami lebih rapat tambahan pula Samsuddin antara insan yang pernah menjaga saya ketika kecil.

“Bagaimanapun saya kesal ada pihak sengaja tularkan semula video ini bukan saja mengaibkan saya malah keluarga sepupu turut terkena tempias disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah Samsuddin di sini hari ini.

Terdahulu, Nor Azah memaklumkan akan membuat laporan kepada polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia berhubung video tular itu.

Tambahnya, dia tidak menolak kemungkinan video tersebut juga sengaja ditularkan susulan Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) semakin hampir.

“Ada yang berpendapat saya bakal calon PRN nanti jadi wujud agenda untuk cemarkan imej saya. Bagaimanapun, suka saya ingatkan sama ada tercalon atau tidak saya akan tetap bekerja serta berjuang untuk parti,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengapa baru kini terpanggil untuk membuat penjelasan, Nor Azah mendakwa video membabitkan masalah peribadi itu dikaitkan dengan karier politik selain demi kesejahteraan keluarga termasuk kesihatan Samsuddin.

“Selama ini saya tidak beri penjelasan kerana berasakan tiada keperluan berikutan tidak memegang jawatan. Namun keadaan sekarang berbeza apabila orang serang bermotifkan politik dengan menggunakan content video tersebut.

“Ia bukan sahaja imej politik saya selama 20 tahun ini tercalar tetapi tujuan saya membuat penjelasan ini kerana bimbang dengan kesihatan Samsuddin yang menderita angin ahmar sejak lima tahun lalu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Samsuddin meminta orang ramai menghentikan perbuatan tular video berkenaan memandangkan keluarga mereka sudah berdamai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast