Suspek yang terlibat insiden menunggang motosikal secara lawan arus sehingga mengakibatkan kematian penunggang motosikal Ducati Panegale di susur keluar Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 10 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas pemandu lori hari ini mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menunggang motosikal melawan arus sehingga menyebabkan kematian seorang warga emas yang menunggang motosikal Ducati Panigale.

Muzyadaha Mohammad, 41, dengan tangan kanannya berbalut membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhannya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.

Mengikut kertas pertuduhan, Muzyadaha Mohammad pada 14 Jun 2023 jam 1.10 di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) sebagai penunggang motosikal Yamaha telah menunggang kenderaan itu dengan cara melawan arus jalan setelah mengambil tentang segala hal keadaan merbahaya kepada awam telah menyebabkan kematian terhadap penunggang motosikal bernama Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi daripada RM50,000.

Tertuduh juga boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun daripada tarikh sabitan kesalahan dan hal sabitan kedua atau kemudian hilang kelayakan selama 10 tahun.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran manakala tertuduh diwakili peguam Izleen Ismail daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Annur Athirah mencadangkan jaminan RM15,000 dan syarat tambahan iaitu pasport Muzyadaha ditahan sehingga perbicaraan selesai.

Bagaimanapun, Izleen berkata, anak guamnya yang merupakan individu berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat mencadangkan Muzyadaha menjalani pemeriksaan mental di hospital di Ulu Kinta, Perak  bagi menentukan keadaan kewarasan tertuduh semasa kejadian.

“Anak guam saya mengambil ubat untuk mengawal anxiety dari psikiatri, semasa kejadian, tertuduh tidak berfikir dengan waras sehingga berlakunya pelanggaran secara berlawanan, maka saya dengan rendah diri memohon mahkamah menggunakan Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah untuk menghantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta menjalani ujian psikiatri.

Menurut Izleen, Muzyadaha yang mengalami kecederaan fizikal dan patah tangan kanan membuktikan semasa kejadian dia tidak dapat berfikir dengan waras iaitu berlaku masalah pemikiran berlawanan.

“Selain dia juga merupakan bekas pemandu kereta api dan bekerja sebagai pemandu lori sebelum ini sudah berkahwin dengan tiga cahaya mata dengan anak sulung menduduki SPM dan faktor kewangan memberi tekanan kepadanya.

“Selepas terlibat kemalangan beberapa kali sehingga hilang kerja memandu lori yang berpendapatan RM2,200 keadaannya bertambah meruncing dan dia mendapatkan rawatan rawatan di klinik dan mengambil ubat dipercayai untuk prikiatri dan merayu wang jaminan rendah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Annur Athirah berkata, memandangkan peguam bela tertuduh membangkitkan bermasalah mental Muzyadaha,beliau bersetuju tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan, Perak untuk menguji tahap kesihatan mentalnya.

Amalina kemudian memutuskan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu menyerahkan lesen memandu kepada mahkamah serta melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Mahkamah turut membenarkan Muzyadaha dirujuk ke Hospital Bahagia untuk menjalani ujian kesihatan mental dan menetap 10 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Bila sudah berlaku..macam macam alasan yg peguam bawa, mental tak stabil lah..memerlukan pemeriksaan mental tetapi menunggang motosikal waras pula. Sama kategori antara peguam dan anak guam.

Comments are closed.