BAYAN LEPAS – Polis menahan tiga individu yang dipercayai terlibat dalam insiden memukul anjing menggunakan kayu di Kampung Telok Tempoyak, di sini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kesemua lelaki berusia lingkungan 40 hingga 53 tahun itu ditahan sekitar jam 11.45 malam tadi hingga 1 pagi tadi di sekitar Batu Maung di sini.
“Masing-masing mereka yang ditahan bekerja sebagai pemandu bas, nelayan dan ejen kargo.
“Bagaimanapun, semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod lampau selain ujian saringan air kencing juga bebas daripada pengambilan bahan terlarang,” katanya dalam atau kenyataan media, hari ini.
Tambah Kok Chin, kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga 12 Julai bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 233 Akta Multimedia yang mana boleh didenda sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah,” kata beliau.
Terdahulu, media melaporkan polis mengesan beberapa suspek disyaki menyerang anjing yang terjatuh dari longkang dalam kejadian di negeri ini.
Video tular dengan tajuk ‘Tidak cukup dilanggar motosikal, anjing tidak berdosa diseksa dua lelaki durjana sampai mati’ itu dikesan polis pada jam 6 petang semalam. – MalaysiaGazette