Norizam Tukiman.

KUALA LUMPUR – Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau dikenali Zamsaham menepis dakwaan sesetengah peminat yang mengatakan beliau hanya pandai cakap sahaja.

Menerusi laman media sosial Facebook miliknya, Norizam menegaskan, dakwaan tersebut tidak benar dan banyak usaha yang dilakukannya untuk pasukan itu.

“Empat tahun dulu pun ada panggil saya bual. Tahun 2020, ketika Bapa Wan Kuzain dan Wan Kuzri tidak jadi beli Kelantan. Saya dikatakan hanya sembang dan bual sahaja. 3 September 2020, saya beli dan buat pasukan dari bawah.

“Hari ini, saya bukan terdesak nak jual Kelantan. Kelab tiada hutang, saya dah selesaikan semua. Saya hanya jual kepada yang betul-betul bersungguh termasuk mampu untuk tunjukkan proof of fund sebelum saya teruskan perjanjian.

“Empat tahun dulu saya sembang, hujungnya saya buat. Hari ini saya bual, insya-Allah hujungnya saya akan buat,” katanya di Facebook miliknya.

Ekoran krisis yang berlaku dalam pasukan ketika ini, ramai peminat melabelkan Norizam sebagai Zambual yang bermaksud dia hanya mampu berbual dan tidak menjalankan kerja dengan baik.

Ketika ini, dua pihak iaitu usahawan selebriti, Datuk Seri Vida dan juga pemilik Erfan Gym And Fitness iaitu Erfan Akif atau Erfan Lee Ruslan berminat untuk membeli Kelantan FC daripada Zamsaham.

Sebelum ini, Norizam telah meletakkan tanda harga RM5 juta kepada mana-mana pihak yang berminat untuk membeli Kelantan.

Namun Erfan dilaporkan bersedia untuk membeli Kelantan walaupun harganya mencecah RM10 juta kerana mendakwa mempunyai perniagaan yang kukuh serta kewangan yang cukup baik.

“Saya terbuka untuk membeli Kelantan samada sebagai pemilik penuh atau jika Zamsaham mahu kekal sebagai pemilik, saya juga sedia jadi penaja utama atau pemegang saham terbesar.

“Ini tertakluk pada situasi menang-menang, jika saya lihat sesuai, saya terbuka dengan apa juga rancangan beliau (Zamsaham),” kata Erfan kepada media. – MalaysiaGazette