AMPANG – Seorang lelaki diberkas semalam kerana disyaki memecah masuk pejabat tempat kerja lamanya di Ukay Perdana di sini baru-baru ini.
Dalam kejadian itu, suspek dipercayai melarikan pelbagai barangan bernilai lebih RM4,000 milik bekas majikannya itu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya telah menerima satu laporan daripada pemilik syarikat terbabit yang berusia 36 tahun Ahad lalu.
Katanya, mangsa mendakwa suspek yang memecah masuk ke dalam premis syarikatnya merupakan bekas pekerjanya yang dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
“Mangsa yang memeriksa pejabatnya mendapati terdapat kesan umpil pada lubang kunci pintu belakang pejabat. Antara barangan yang didapati hilang adalah sejumlah wang tunai dan dua helai seluar jean bernilai sekitar RM4,150 ,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Azam, bertindak atas laporan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya telah membuat serbuan di kawasan perumahan Ukay Perdana pada 11.30 malam semalam sebelum berjaya menahan suspek seorang lelaki berusia 21 tahun.
Katanya, suspek dilibatkan dalam ujian saringan air kencing keputusannya negatif sebarang dadah.
“Semakan juga mendapat suspek memiliki satu rekod kesalahan jenayah lampau yang tidak dikehendaki. Dalam tangkapan itu polis juga merampas satu beg dan beberapa pakaian yang dicuri serta barangan yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa kejadian,” katanya.
Suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang dan dibenarkan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan lanjut polis.
Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu Pecah Rumah dan Curi yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya.-MalaysiaGazette