Ramli Mohamed Yoosuf

BUKIT JALIL — Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil pendekatan baharu mengekang jenayah penipuan dalam talian yang semakin meningkat iaitu menerusi filem bertajuk Oppa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ‘Love Scam’ merupakan antara kategori jenayah penipuan dalam talian yang kerap berlaku sehingga mencatat kerugian sebanyak RM382.4 juta sejak Februari 2018 sehingga Jun tahun ini.

Katanya, kajian pihaknya mendapati dalam tempoh lima tahun sebanyak 7,548 kes direkodkan dengan 82.8 peratus (6,254) daripada mangsa adalah wanita.

“Baki 1,297 melibatkan mangsa lelaki. Mungkin lebih daripada itu, tetapi tidak dilaporkan dan ada juga yang melibatkan kerugian sehingga RM12 juta,” katanya pada sidang media Pelancaran Trailer Filem Anti Scam berjudul Oppa terbitan Dream Film Sdn. Bhd., di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf (tengah) bergambar bersama penerbit, Aesos Lai (dua kanan) dan pengarah, Denil Choong Lin Long (kanan) serta barisan pelakon selepas Pelancaran ‘Trailer’ Filem Kesedaran Anti-Scam OPPA di Bukit Jalil. Foto FAREEZ FADZIL, 12 JULAI 2023.

Hadir sama penerbit filem itu, Aesos Lai dan pengarahnya, Denil Choong Lin Long.

Menurut Ramli, filem berdurasi 90 minit yang dibintangi lebih 50 anggota serta pegawai PDRM itu memaparkan aksi tipikal senario jenayah penipuan dalam talian.

“Filem Oppa yang berdasarkan kisah sebenar ini bertujuan menyebarkan pengetahuan tentang modus operandi sindiket scam dengan lebih berkesan, meningkatkan kesedaran, dan membangkitkan semangat anti-scam di kalangan masyarakat,” katanya

“Filem ini memupuk lebih kesedaran supaya tidak menjadi mangsa seterusnya selain memaparkan operasi penahanan sebenar. Polis sentiasa bergelumang dengan risiko-risiko malah sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Tambah beliau, PDRM menjangka penurunan trend mangsa scam menerusi kempen kesedaran dan program yang sedang dilakukan terutama dalam kaedah terbaharu ini.

“PDRM juga melaksanakan pelbagai aktiviti pencegahan jenayah serupa melalui Kempen Anti Scam PDRM seperti program sembang santai kepada kumpulan-kumpulan kecil, wawancara televisyen dan radio, ceramah dan pameran di sekolah, rumah ibadat dan universiti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast