fitnah haram
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Hukum fitnah dan membohong adalah haram walaupun ia datang dari parti yang selalu mendendangkan perjuangan Islam.

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, semua pihak sepatutnya menyemak dahulu kesahihan berita sebelum berkongsi dalam media.

Menurut beliau, sekiranya tiada kepastian, maka sebarang perkongsian dalam media hendaklah ditangguhkan.

“Jangan apabila datang dari media penyokong parti sendiri, segera kita kongsi tanpa mengira dosa dan pahala.

“Apabila datang daripada media penyokong lawan baru kita dendangkan ia fitnah, haram, bersedialah nanti menjawab di hari Akhirat dan sebagainya,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Mohd Khairuddin memberitahu, semua pihak bertanggungjawab mewujudkan persekitaran politik sihat, matang, damai, berhemah dan berakhlak.

“Silalah mengkritik secara berfakta parti lawan bukan mengutuk, mencela dan melaknat individu,” jelasnya. – MalaysiaGazette