KUANTAN – Misi mencari seorang warga emas Orang Asli yang hilang dalam hutan di Lipis sejak Ahad lalu masih menemui jalan buntu.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, operasi mencari dan menyelamat dilakukan di Kampung Meter Pos Betau Sungai Koyan di Lipis bermula jam 8.30 pagi tadi.
Katanya, pihaknya bomba sebelum ini menerima maklumat daripada polis berkaitan mangsa bernama Bah Mail Pak Gendet, 76 yang hilang di dalam hutan.
“Susulan laporan, pasukan bomba seramai lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Koyan bersama agensi lain menjalankan operasi mencari dan menyelamat di lokasi,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, tambah beliau, operasi tersebut terpaksa ditangguhkan ke esok berikutan hujan.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mangsa dikatakan keluar rumah sejak Ahad lalu dan tidak pulang sehingga kini.
Mangsa yang berasal dari Kampung Chekai RPS Betau, Kuala Lipis masuk ke dalam hutan untuk mencari hasil hutan namun keluarganya bimbang setelah dia tidak pulang, dan mangsa dikatakan menghidap darah tinggi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN