KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan telah memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Majistret bulan lepas yang membebaskan 17 lelaki yang didakwa merusuh di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, Subang Jaya pada 2018 tanpa memanggil mereka membela diri.
Media melaporkan, notis rayuan telah difailkan pendakwaan awal minggu lepas namun perinciannya masih belum diperoleh.
Majistret Muhammad Iskandar Zainol memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan.
Ketika membacakan penghakimannya, Muhammad Iskandar berkata, tiada pengenalpastian positif tertuduh termasuk melalui pengecaman di kandang tertuduh.
“Tiada senjata dikemukakan di mahkamah sebagai bahan eksibit seperti pisau seperti yang dinyatakan dalam kertas tuduhan,” katanya.
Tertuduh lain ialah Riduan Sekh Ruslan, Irwan Noordin, Khairi Abdul Rashid, Rozaihan Zakaria, Qayyum Mohd Faisal, Ashraf Mohd Faizal, Absal Eastrie Abdullah, Jalil Talib, Khairol Anuar Zabidi, Zamri Md Said, Shukri Razali, Nor Azmi Abdul Ghani, Shahril Danniel Sajeel, Hasneezam Shah Samsudin, Akmal Izzat Azi dan Norul Ismawi Islahuddin.
Mahkamah memutuskan saksi pendakwaan gagal mengenal pasti tertuduh berikutan kejadian awal pagi itu.
Kesemua tertuduh berusia antara 24 dan 47 tahun didakwa merusuh dan memiliki senjata berbahaya antara 2 pagi hingga 5 pagi pada 26 November 2018.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Rusuhan berlaku pada awal pagi 26 November 2018 apabila sekumpulan lelaki memasuki kuil dengan pergaduhan berpunca daripada isu penempatan semula kuil, dengan beberapa penganut enggan berbuat demikian.
Rusuhan itu juga menyebabkan puluhan kenderaan dibakar dan beberapa orang cedera.
Kira-kira 24 jam kemudian, lebih banyak kenderaan dibakar dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang bertindak balas terhadap panggilan kecemasan diserang.
Kejadian itu turut meragut nyawa seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, yang cedera di tempat kejadian sebelum meninggal dunia sebulan kemudian di Institut Jantung Negara. -MalaysiaGazette