Foto pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Abdul Somad yang dikongsi di media sosial Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan pendakwah terkenal Indonesia, Abdul Somad Batubara di pejabat beliau hari ini.

Anwar dalam ciapannya berkata, beliau menghargai usaha dakwah yang dilakukan Abdul Somad terutama di alam Melayu.

Perdana Menteri berkata, dalam pertemuan tersebut mereka membincangkan dinamika dakwah dan isu-isu agama yang merentas sempadan alam Melayu.

Menurut Anwar, Abdul Somad telah meneruskan peranan ulama Melayu yang disifatkan sebagai berani terutama dalam menentang penjajah suatu ketika dahulu.

“Saya hargai usaha dakwah Ustaz Abdul Somad yang aktif khususnya di alam Melayu. Sesungguhnya para da’ie dan ulama di alam Melayu ini saling mendukung dan melengkapi pemerintahan umara’ sejak sekian lama.

“Peranan ulama Melayu seperti Syeikh Daud al-Fatani, Syed Abdul Samad al-Falimbani, Raja Ali Haji dan Buya Hamka punyai hikmah, kedalaman ilmu dan berani dalam melaksanakan dakwah telah menyumbang kepada perjuangan melawan penjajah serta benteng kepada akidah umat di rantau ini,” kata Anwar.

Anwar berkata, beliau dan Abdul Somad sependapat bahawa pentingnya dakwah yang berlandaskan kesederhanaan dan hikmah dalam menyampaikan mesej Islam dengan lebih bijaksana.

Abdul Somad yang berasal dari Sumatera Utara dalam rangka siri ceramah di Malaysia minggu ini.

Tahun lalu media melaporkan, penceramah popular Indonesia itu dihalang daripada memasuki Singapura.

Kementerian Dalam Negeri Singapura mengesahkan enam individu yang tiba bersama Abdul Somad melalui terminal feri Tanah Merah dihantar pulang ke negara asal.

Kementerian itu mendakwa Abdul Somad dikenali sebagai ‘pelampau dan pendukung dasar pemisahan’.

Katanya, ia sama sekali tidak boleh diterima Singapura sebagai negara didiami berbilang kaum dan agama. – MalaysiaGazette