: Antara pelajar yang menerima anugerah dalam Majlis FAN 2023.

KOTA KINABALU – Misi dan visi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) adalah untuk menjadi pusat asimilasi dan penyebaran pengetahuan, penemuan dan inovasi dalam bidang perubatan dan sains kesihatan melalui aktiviti pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti.

Kini, FPSK telah menelusuri 20 tahun pelaksanaan misi dan visi tersebut, khususnya di Negeri Sabah.

Naratif kewujudan dan kecemerlangan FPSK selama 20 tahun tersebut telah dipersembahkan dan disempurnakan pelancarannya oleh Naib Canselor UMS, YBhg. Prof.
Datuk Dr. Kasim Mansor sempena Majlis Faculty Appreciation Night 2023 (FAN 2023) di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Jun 2023.

FAN 2023 merupakan acara tahunan sebagai platform mengiktiraf dan menghargai pencapaian warga Fakulti sepanjang tahun 2022 di samping mengeratkan lagi silaturahim
antara pelajar dan kakitangan Fakulti. Majlis tahunan ini membawa tema “Tradisi Memperkukuh Institusi”.

Naib Canselor UMS dalam ucapan perasmiannya menzahirkan rasa gembira melihat perkembangan dan impak kewujudan FPSK kepada Universiti dan masyarakat di Negeri
Sabah khasnya.

Menurutnya, FPSK telah mampu melaksanakan misi dan visi penubuhannya melalui pelbagai pencapaian sejak tahun 2003.

“Sepanjang 20 tahun lalu, Fakulti ini telah mampu mencapai pelbagai kemajuan yang ketara, khususnya melalui penghasilan graduan perubatan dan sains kesihatan yang kini berjumlah
1,733 orang. Mereka yang bergelar alumni ini telah bertebaran menabur khidmat kepada masyakarat dan negara, malah ada yang berkhidmat di luar negara,” katanya.

Tambah beliau lagi, FPSK turut menjuarai program Community Engagement khususnya di luar bandar yang telah terlaksana sejak tahun 2006 lagi, iaitu melalui program extra
kurikulumnya yang dikenali sebagai PUPUK atau Perkongsian Universiti Keluarga Dalam Kesejahteraan Komuniti, CMP (Community Medicine Posting) dan Program Promosi
Kesihatan.

Sehingga Jun 2023, seramai 2,438 komuniti dan 54 perkampungan luar bandar Sabah telah menerima manfaat melalui kedua-dua program tersebut.

Pengisian utama program tersebut adalah memberikan khidmat pemeriksaan kesihatan percuma di samping program motivasi pendidikan melibatkan mahasisiwa Fakulti dengan anak-anak kampung yang terlibat.

“Sesungguhnya pencapaian ini amatlah signifikan kepada aspirasi Kerajaan Negeri Sabah pada masa kini, iaitu membangun modal insan dan kesejahteraan rakyat melalui Pelan
Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.

Selain aspek kecemerlangan khidmat komuniti, FPSK juga telah membuktikan pencapaian cemerlang dalam bidang penyelidikan, yang mana sebanyak 305 penyelidikan telah dihasilkan
oleh pensyarah FPSK sejak tahun 2003 yang telah mendapat pelbagai anugerah dan pengiktirafan sama ada di peringkat universiti, kebangsaan hinggalah antarabangsa.

Lanjutan daripada hasil penyelidikan tersebut, sejumlah 770 telah dibukukan melalui penerbitan terindeks dalam Scopus.

Sumbangan dan pencapaian penyelidikan ini telah memberi impak kepada perkembangan ilmu perubatan dan sains kesihatan di rantau ini amnya dan Negeri Sabah khasnya.

Pencapaian terbaru fakulti dari aspek kepakaran perubatan adalah pada 12 Januari 2023, apabila mana seorang pakar perubatan bius otak iaitu Dr. Yeap Boon Tat telah bersama pasukan
doktor pakar dari Hospital Queen Elizabeth2 (HQE2) dan Hospital Sungai Buloh, Selangor berjaya buat julung kalinya melaksanakan pembedahan otak pesakit dalam keadaan sedar
penuh atau dikenali sebagai “awake craniotomy” di Sabah. – MalaysiaGazette