KUALA LUMPUR – Baru-baru ini gempar dengan penemuan ikan naga atau ‘Oarfish’ tersangkut pada pukat nelayan di pesisir Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus.
Ikan naga yang dijumpai oleh nelayan yang juga pesara itu mempunyai kepanjangan hampir dua meter dan didakwa masih hidup ketika ditemui.
Keprihatinan dan tanggungjawab nelayan patut mendapat pujian kerana tidak membiarkan ikan itu di laut setelah mati, sebaliknya menyerahkan spesis ‘rare’ itu ke Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan (RRC), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk proses kajian.
Spesis itu dikatakan jarang ditemui di pesisir pantai cetek kerana ikan naga hidup pada kedalaman laut kira-kira 3,280 kaki (1,000 meter) tetapi sering berada pada kedalaman
656 kaki (200 meter).
Uniknya, spesis itu berenang dengan menggunakan gerakan pada bahagian ekor yang panjang (beralun) manakala badannya kekal lurus.
Menurut kepercayaan masyarakat Jepun, ikan naga ini digelar sebagai ‘ryugu no tsuka’ yang bermaksud penyampai daripada dewa laut merupakan petanda kejadian buruk bakal
berlaku.
Masyarakat di sana percaya apabila ikan itu timbul di permukaan laut memberi isyarat bencana alam semakin hampir terjadi.
Namun, kepercayaan tidak berlandaskan bukti saintifik hanyalah sekadar ‘retorik’ tidak ubah seperti sembang di kedai kopi.
UMT berkata, kajian demi kajian perlu dilakukan untuk mendapat kepastian serta punca spesis itu ‘menyerah diri’ terutamanya melibatkan lokaliti berhampiran penempatan penduduk serta melibatkan negara.
Kajian dan penyelidikan sinonim dengan universiti.
Kewujudan institusi pengajian tinggi antara lain bertujuan melaksanakan aktiviti serta kajian yang memberi pendedahan sebenar selain membabitkan komuniti bagi manfaat bersama.
Hubungan antara universiti dan komuniti juga perlu akrab terutamanya melibatkan kumpulan tertentu yang menjadi sebahagian daripada ejen penyelidikan.
“Penemuan ikan ini menjadi bukti bahawa hubungan yang terjalin antara kumpulan nelayan dengan UMT cukup akrab. Jika nelayan tidak memaklumkan serta tidak membantu universiti dalam menyalurkan maklumat, sedikit sebanyak menyukarkan proses kajian dan penyelidikan dilakukan terutamanya melibatkan spesimen yang jarang ditemui dan unik,” ujar UMT.
Ia hasil daripada pelbagai penganjuran program melibatkan komuniti sekitar kampus UMT yang rata-rata bergantung kepada hasil laut sebagai sumber pendapatan.
Menurutnya, penyebaran ilmu kesedaran berkenaan pemuliharaan laut serta etika sebagai nelayan terbukti berkesan setelah beberapa siri penganjuran program seperti sambutan
World Oceans Week sejak lebih 10 tahun lalu, program Universiti Bersama Komuniti Nelayan, Program Pemindahan Ilmu Komuniti Pesisir Pantai dan sebagainya. – MalaysiaGazette