BAYAN BARU – Mayat seorang wanita lengkap berpakaian ditemui terapung berhampiran muara sungai di Medan Pantai Jerejak, di sini, hari ini.
Mayat mangsa berusia 60-an itu ditemui nelayan kira-kira jam 11.30 pagi sebelum memaklumkan kejadian pada pihak polis.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Mohamad Hirman Mat Rodzi berkata, pihaknya menerima panggilan dari pihak polis bagi membantu mengangkat mayat tersebut pada jam 11.45 pagi.
Katanya, seramai 10 anggota termasuk empat dari pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan.
“Sebaik tiba kita dapati, seorang wanita ditemui dalam keadaan terapung berhampiran bot nelayan.
“Pasukan penyelamat membantu mengangkat mayat wanita berkenaan yang memakai kemeja T dan seluar berwarna hitam serta kasut sukan.
“Bagaimanapun, tiada pengenalan diri ditemui bersama mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Mohamad Hirman, kes diserah kepada pihak polis bagi tindakan lanjut dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang. – MalaysiaGazette