Datuk Seri Ahmad Maslan.-Foto FAREEZ FADZIL, 31 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah mewartakan pengurangan kadar duti setem bagi saham yang didagangkan di Sekuriti Bursa Malaysia daripada 0.15 peratus kepada 0.10 peratus.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Warta Kerajaan Persekutuan Perintah Duti Setem (Peremitan) (N0 3) 2023 itu berkuatkuasa hari ini.

“Disertakan salinan Warta Kerajaan Persekutuan bermula hari ini 13/7/23 atas nama Pertada Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu duti setem diturunkan daripada 0.15% kpd 0.10% yang kena dibayar atas semua surat cara kontrak berhubung penjualan syer atau stok yang disenarai di Bursa Malaysia,” katanya.

Pada 19 Jun lalu, Anwar mengumumkan kadar duti setem bagi saham yang didagangkan di Sekuriti Bursa Malaysia dikurangkan daripada 0.15 peratus kepada 0.10 peratus daripada nilai kontrak.

Perdana Menteri berkata, pengurangan tersebut tertakluk kepada had maksimum RM1,000 setiap kontrak dan akan berkuat kuasa pada Julai ini.

Menurut beliau, perubahan tersebut secara langsung akan mengurangkan kos urus niaga sekuriti dan menjadikan pasaran saham Malaysia lebih berdaya saing.

Anwar turut yakin langkah tersebut akan merangsang pasaran dan meningkatkan daya tarikan terhadap Bursa Malaysia.

“Peningkatan kecairan pasaran akan menarik lebih banyak dana domestik dan asing ke dalam pasaran saham Malaysia, sekali gus menggalakkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk meneruskan tawaran awam permulaan (IPO) dan memudahkan syarikat tersenarai awam mengumpul dana untuk mengembangkan perniagaan mereka dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Anwar berkata, usaha menggalakkan niaga korporat dan memudahkan proses penyenaraian perlu dijalankan dalam usaha untuk meningkatkan pasaran modal serta mencipta lebih banyak kekayaan untuk rakyat.- MalaysiaGazette