Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi

PUTRAJAYA – Peguam kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan rumah yang diduduki Perdana Menteri di Kajang yang dikaitkan milik taikun Cina sebenarnya sebenarnya aset pajakan.

Datuk Sankara Nair berkata, Anwar memiliki perjanjian pajakan selama 10 tahun untuk menduduki rumah itu dan perjanjian pajakan itu dibuat pada 2020 sehingga 2030.

“Ia sebahagian daripada bukti yang saya miliki sekarang dengan nama Anwar Ibrahim ada dalam dokumen perjanjian pajakan. Jika anda pergi dan cari di Pejabat Tanah boleh menjumpai maklumat lengkap itu.

“Sebagai Perdana Menteri (PM) dia boleh tinggal di mana-mana jika dia rasa selamat dan terlindung dari aspek keselamatan dan oleh kerana dia mempunyai tempoh pajakan selama 10 tahun kenapa dia perlu kosongkan rumah itu hanya sebab dia adalah PM..tiada keperluan langsung (kosongkan premis),” katanya kepada pemberita pada hari ini.

Sankara menambah pajakan itu telah dimeterai pada tahun 2020 sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri.

“Itu tahun 2020 dan dia bukan PM ketika itu apatah beliau tidak jangkakan pun akan menjadi Perdana Menteri..maka adalah tak wajar tanpa usul periksa terus menuduh dengan fitnah rasuah dan sebagainya.

“Sebab itulah saya menasihati Anwar agar jangan memfailkan saman sivil kerana ia akan memakan masa yang bertahun lama sebaliknya mencadangkan untuk saman jenayah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana ia akan membawa hukuman penjara yang akan menjadi pengajaran kepada pemfitnah,” katanya.

Terdahulu beliau menemani Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya bagi membuat laporan polis ke atas tiga individu iaitu Badrul Hisham Shaharin yang dikenali dengan nama Chegubard, Wan Saiful Wan Jan dan Raggie Jessy Rithaudeen.

Sebelum itu, mereka mempersoalkan kenapa Anwar tinggal di rumah yang nama pemiliknya seorang taikun Cina dan ia dapat dibuktikan melalui beberapa dokumen.

Bercakap kepada pemberita, Ahmad Farhan berkata, laporan dibuat ke atas ketiga-tiga individu itu kerana mengeluarkan dan menyebarkan beberapa kenyataan palsu dan bersifat memfitnah terhadap Anwar.

Chegubard membuat dakwaan itu selepas membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Wan Saiful pula melakukan perkara yang sama dalam satu ceramah politik yang mempersoalkan status kediaman peribadi PM dan beberapa kenderaan yang digunakan pemimpin tertinggi kerajaan Perpaduan Madani itu.

“Adalah jelas mendapati kesemua kenyataan yang dikeluarkan mereka bertiga adalah tidak berasas, berniat jahat dan bermotifkan politik yang menjatuhkan maruah dan reputasi perdana menteri di mata rakyat.

“Bukti-bukti konklusif dan menyeluruh yang menyangkal sekeras-kerasnya kenyataan-kenyataan palsu tersebut akan dikemukakan kepada pihak polis semasa siasatan lanjut kelak supata tindakan tegas dan berat dapat diambil keatas pemfitnah,” kata Ahmad Farhan.

Beliau pada masa sama mengingatkan semua pihak agar berhati-hati dengan berita-berita terutamanya yang disampaikan oleh mereka yang diragui keperibadian dan akhlak mereka.

Dalam pada itu, Sankara ketika ditanya mengenai kenderaan mewah digunakan PM yang turut dipertikaikan hak miliknya, beliau menjelaskan kesemuanya adalah kereta terpakai.

“Kesemua kereta itu sebenarnya dipinjamkan kepada PM dan sejurus selepas dia mengangkat sumpah sebagai PM di Istana Negara, kesemua kenderaan terpakai itu sudah dipulangkan dan beliau (Anwar) memaklumkan kepada saya perkara ini pagi tadi.

“Dalam laporan polis yang sama kita telah menambah aduan atas Chegubard kerana dia telah mendedahkan kandungan maklumat dalam laporan yang dia buat kepada SPRM di Putrajaya baru-baru ini.

“Berbeza dengan laporan polis, jika kamu mendedahkan sebarang kandungan maklumat mengenai sesuatu isu yang dilaporkan kepada SPRM, ia menjadi satu kesalahan mengikut seksyen yang diperuntukkan dan kita tekankan isu tersebut dalam laporan polis tadi untuk disiasat bersama,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A.Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan polis tersebut dan siasatan akan dibuat.

Kes berkenaan dijangka dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk tindakan lanjut.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

SPRM perlu siasat pemilikan harta pemimpin kanan kerajaan – Che’gu Bard

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Si Bard ni kerja dia atas restu Muhyidin dan Hadi Awang ialah menyebarkan fitnah…ambil tindakan sekeras2nya kpd binatang politik ni..jgn sesekali menerima sebarang permohonan maaf dia..moga pemfitnah tegar ini disumbat ke penjara jaaa

Comments are closed.