SPRM kerajaan
Pengerusi MN Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin bercakap kepada media semasa hadir untuk menyerahkan memoradum desakan atas siasatan terhadap pemimpin kanan kerajaan dalam isu milikan kediaman peribadi, kenderaan peribadi yang sering digunakan dan milikan harta di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 11 JULAI 2023.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat dakwaan berhubung pemilikan premis kediaman, koleksi kenderaan dan tanah yang dikaitkan dengan seorang pemimpin kanan kerajaan.

Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin berkata, terdapat salinan dokumen yang ditandatangani pegawai kepada pemimpin terbabit yang menyatakan bahawa premis kediaman yang dimaksudkan adalah milik seorang ahli perniagaan.

Menurut beliau, dokumen terbabit juga menyatakan ahli perniagaan berkenaan merupakan penama bagi bil elektrik dan bil air premis kediaman tersebut.

“Persoalan timbul kenapa beliau boleh menjadikan premis milik seorang taikun sebagai kediaman peribadi?

“Pertama, timbul persoalan aspek keselamatan. Kedua, persoalan integriti, siapakah taikun tersebut,” katanya.

Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Che’gu Bard berkata demikian kepada pemberita sebelum menyerahkan memorandum dan bukti mengenai dakwaan tersebut di luar pekarangan Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan mengenai ketelusan pemimpin kanan kerajaan terbabit dalam mengisytiharkan harta khususnya lot tanah yang dikatakan bernilai RM1 juta di Port Dickson.

“Persoalannya, adakah pengisytiharan ini palsu atau benar? Ada syak yang kuat beliau hanya bersandiwara dalam pengisytiharan ini?” soalnya.

Badrul Hisham turut membangkitkan tentang koleksi kenderaan mewah yang sering digunakan oleh pemimpin kanan kerajaan terbabit.

Beliau mendakwa, kenderaan-kenderaan terbabit tidak wujud dalam pengisytiharan harta pemimpin berkenaan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kes banglo dibawah harga pasaran juga perlu dibuka semua. Keadilan hanya akan tertegak apabila sesuatu kes itu selesai diadili.

    Bukan separuh jalan!!!! Itu bukanlah keadilan?

Comments are closed.