Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bergambar bersama pelajar-pelajar yang menerima Anugerah Pelajar Terbaik STPM pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2022 di Majlis Peperiksaan Malaysia, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Patah kepala bertongkat paruh, patah paruh bertelekan.

Kehilangan upaya penglihatan tidak pernah dijadikan alasan oleh Muhammad Amir Faris Mohd Firdaus, 21, untuk berhenti menimba ilmu.

Berdamai dengan nasib, segala usahanya dibalas keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 apabila meraih Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.92 dengan empat A dan dinobatkan sebagai pelajar terbaik bagi kategori buta.

Penerima Anugerah Pelajar Terbaik STPM Kategori Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (Kategori Buta), Muhammad Amir Faris Mohd Firdaus menerima kucupan daripada ibunya, Norazizah Ismail pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2022 di Majlis Peperiksaan Malaysia, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 JULAI 2023.

Pelajar St John’s Institution Kuala Lumpur itu berkata, dia didiagnos buta sepenuhnya selepas mengalami ketumbuhan pada hidung ketika berusia enam tahun.

Biarpun hidup jauh dari sisi keluarga, anak keempat dari lima beradik itu mengakui menghadapi banyak cabaran yang perlu ditempuh semasa sesi pembelajaran, namun tidak sesekali terlintas di minda untuk berhenti mencuba.

“Menjadi seorang buta ini bukan satu perkara yang mudah kerana penuh dengan cabaran seperti kesusahan untuk bergerak dan mengakses maklumat terutama yang bergambar. Saya terpaksa meminta bantuan rakan dan guru yang celik untuk menceritakan gambar tersebut.

“Saya memang kena berani untuk terus melangkah ke depan, perlu berani mencuba apa pun yang ada di sekeliling dan teroka kehidupan ini. Tak pernah terlintas saya give up, saya tak boleh give up,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2022 oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) di Selayang, di sini, hari ini.

Muhammad Amir Faris merupakan antara 17 pelajar terbaik STPM 2022 yang diraikan pada majlis yang disempurnakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi serta Pengerusi MPM merangkap Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Dalam pada itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Klias, Beaufort di Sabah, Nur Atikah Zailan, 20, juga berkongsi kegembiraan apabila mendapar PNGK 4.0 dengan lima A.

Kata beliau, selain berpegang kepada pesanan bapanya yang bekerja sebagai Pembantu Am di Lembaga Industri Getah Sabah serta arwah ibunya, dia hanya menghabiskan cuti hujung minggu mengulang kaji pelajaran bermula Jumaat.

Penerima Anugerah Pelajar Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) Terbaik Kategori B40, Nur Atikah Zailan.

“Bapa selalu cakap, kita bukan orang senang, bapa pun tiada harta untuk beri kepada kamu. Ilmu itu penting, ilmu sahajalah harapan. Sama juga pesanan arwah ibu yang letak harapan tinggi pada saya.

“Saya dan tiga adik saya hanya diberikan duit belanja RM3 sehari dan saya akan bangun seawal jam 4 pagi untuk masakkan bekal untuk semua sebelum ke sekolah pada jam 6 pagi setiap hari,” katanya. – MalaysiaGazette