Azman Mohd Yusof

BANGKOK – Misi Perdagangan Francais Malaysia ke Bangkok, Thailand bersempena Thailand Franchise and Business Opportunity 2023 (TFBO) menyasar menarik pelaburan berjumlah RM30 juta.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Mohd Yusof berkata, sebanyak 10 jenama Malaysia iaitu Marrybrown, Kenny Rogers Roasters, US Pizza, Cleanpro Express, Deemcee, Global Art, UCMAS, HOME, Q-dees dan Little Caliph menyertai TFBO di Bangkok International Trade and Exhibition Centre (BITEC) yang berlangsung dari 13 hingga 16 Julai, 2023.

Beliau berkata, tahun ini TFBO berjaya menarik hampir 7,000 pelabur dari 36 negara dari seluruh dunia, termasuk Malaysia.

“TFBO merupakan platform penting bagi industri francais Malaysia untuk mengambil peluang mempelbagaikan pelaburan francais mereka di Thailand.

“Misi yang dirancang di bawah Program Pengukuhan Francais bagi Meningkatkan Eksport (EFDP) itu berhasrat untuk menggalakkan pengembangan jenama Malaysia ke Thailand dan mencari pelabur berpotensi melalui program pemadanan perniagaan.

“KPDN bekerjasama rapat dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Persatuan Francais Malaysia (MFA), dan pemain industri untuk mencapai sasaran dan menggandakan momentum,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, jenama francais Malaysia telah berkembang sebagai identiti jenama terkemuka di seluruh dunia dengan lebih daripada 68 jenama bertapak di 80 negara.

Azman yang mengetuai delegasi tersebut hadir pada majlis perasmian Pavilion Malaysia di TFBO pada Khamis yang turut dihadiri Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel.

Selain itu, beliau juga mempengerusikan sesi dialog bersama Presiden Franchise & License Association of Thailand (FLAT), Suttichai Panitnarakul dan Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Prof. Dr. Azmawani Abd Rahman serta pemain industri francais dari Malaysia dan Thailand.

Beliau berkata antara perkara yang dibincangkan termasuklah proses atau prosedur yang perlu dipatuhi untuk membolehkan syarikat francais Malaysia menembusi pasaran Thailand di bawah kategori restoran makanan dan minuman (F&B) serta pendidikan kanak-kanak.

Sementara itu, Azman berkata Malaysia dan Thailand akan mengukuhkan kerjasama berteraskan model ekonomi sempadan menerusi perbincangan dengan pihak-pihak yang berkenaan.

Beliau berkata persijilan halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapat pengiktirafan di semua negara termasuk Thailand  dan ini merupakan satu kelebihan kepada syarikat francais Malaysia untuk berkembang ke negara tersebut.

Pada 2021, industri francais di Malaysia mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM30 bilion meningkat daripada RM14.6 bilion pada 2020. – BERNAMA