GOMBAK – Empat sekeluarga termasuk dua orang kanak melalui detik cemas apabila mengalami sesak nafas dan pengsan selepas rumah mereka terbakar di Jalan SE Utama, Taman Samudera Teres di sini tengah malam tadi.
Kejadian itu juga mengakibatkan seorang anggota bomba juga mengalami sesak nafas semasa terlibat dalam kerja-kerja memadamkan kebakaran.
Pengarah JBPM Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, bilik gerakan negeri telah menerima panggilan kecemasan pada 11.55 malam mengenai kejadian itu.
“Bertindak atas maklumat kebakaran itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dan BBP Rawang bergegas dan tiba di lokasi kejadian pada 12.21 pagi.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah teres tiga tingkat dengan anggaran kebakaran 50 peratus.
“Pemeriksaan anggota mendapati empat sekeluarga terdiri daripada ibu bapa dan dua anak mereka berada di dalam rumah berkenaan semasa kejadian.
“Ibu bapa dan anak lelaki mereka telah mengalami sesak nafas manakala seorang lagi anak perempuan mereka tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Wan Md. Razali, angggota bomba yang terlibat dalam kerja mengawal dan memadam kebakaran itu berjaya membawa keluar kesemua mangsa.
“Kesemua mangsa kemudian telah dikejarkan ke Hospital Selayang untuk rawatan segera termasuk seorang anggota bomba yang mengalami sesak nafas dan kini dalam keadaan stabil,” katanya. – MalaysiaGazette