JOHOR BAHRU – Tindakan kerajaan dalam meluluskan 37 buah syarikat bagi mengimport 285,700 tan metrik gula putih bukan indikator bekalan tempatan mengalami masalah.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sebaliknya usaha itu dibuat dalam mendukung industri gula negara selain memastikan kestabilan bekalan terus terjamin.
“Itu perkara biasa yang tidak apa-apa boleh, apabila kita meluluskan sebagaimana itu, gula dalam bentuk 50 kilogram (kg) itu dijual kepada pihak industri dan itu kita tidak ada masalah.
“Yang penting bagi saya adalah pihak CSR dan MSN yang ada di dalam negara kita pada hari ini, kita bantu mereka dari segi apa pun kesulitan mereka.
“Contohnya isu pekerja asing yang mereka perlukan, bantu dan setakat ini harga gula pasir dua jenis untuk rakyat itu kasar dan halus masih lagi dijual dengan harga yang rendah iaitu RM2.85 dan halus RM2.95,” katanya selepas melancarkan Program Payung Rahmah bersama ZeroHealthcare di sini hari ini.
Kata Salahuddin lagi, setakat hari ini, bekalan gula putih bertapis dalam negara setakat tidak megalami sebarang masalah dan mencukupi untuk keperluan industri dan domestik.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya akan mengambil perhatian terhadap isu kekurangan bekalan gula yang didakwa berlaku di sekitar Limbang, Sarawak.
“Setakat ini, saya beri jaminan tidak ada krisis besar namun saya juga akui kadang-kadang terdapat shortage di beberapa lokasi. Jadi kalau benar berlaku contohnya di Limbang, Johor Bahru atau Alor Setar, maka terus laporkan kepada kita dan dalam masa beberapa jam sahaja kita akan cuba sediakan bekalan,” katanya.
Orang ramai digesa untuk menyalurkan aduan secara terus kepada pihak KPDN sekiranya berlaku masalah kekurangan bekalan di kawasan mereka.
Mengenai bekalan gula bertapis bagi pek sekilogram dan dua kilogram yang juga dikenali sebagai ‘gula rakyat’ – KPDN komited memastikan bekalan diedarkan sekurang-kurangnya 42,000 tan metrik setiap bulan oleh MSM Malaysia Holdings Bhd dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) bagi menampung keperluan rakyat termasuk penjaja serta peniaga kecil.- MalaysiaGazette