Mohd Hairi melawat kaunter sempena Mega Gerak Kerjaya MYFutureJobs Johor 2023 di Larkin hari ini.

JOHOR BAHRU – Mega Gerak Kerjaya MYFutureJobs Johor 2023 anjuran Unit Strategik Modal Insan (SMI) Johor di Stadium Tertutup Arena Larkin di sini mendapat sambutan menggalakkan pada hari pertama ia berlangsung.

Program berlangsung selama dua hari bermula hari ini sehingga esok.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, program bermula sejak 2017 itu diteruskan tahun ini bagi memastikan rakyat memperoleh pekerjaan bersesuaian.

Menurutnya, Mega Gerak Kerjaya MYFutureJobs Johor 2023 menjadi landasan usaha mempromosi peluang pekerjaan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), graduan universiti serta golongan pencari kerja yang aktif.

“Selain itu, ia sebagai platform untuk majikan membuat pemilihan calon yang layak bagi mengisi kekosongan yang ditawarkan dengan mengadakan temu duga terus di lokasi program.

“Secara tidak langsung membantu pencari kerja mendapat peluang temu duga yang lebih banyak dan dapat berinteraksi secara terus dengan pegawai sumber manusia dari setiap organisasi,” katanya ketika berucap pada Mega Gerak Kerjaya MYFutureJobs Johor 2023 di Larkin hari ini.

Mohd Hairi berkata, penganjuran Mega Gerak Kerjaya MYFutureJobs Johor 2023 selama dua hari turut melibatkan rakan strategik antaranya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Johor Petroleum Development Corporation (JPDC) Berhad.

Ia diyakini dapat membangunkan modal insan yang kompeten dan berprestasi tinggi.

Selain itu, ia memperkukuhkan kerjasama jaringan industri dalam menjadi sumber rujukan utama dalam pemilikan data tenaga kerja dan hal ehwal modal insan  Johor.

“Program Mega Gerak Kerjaya MYFutureJobs Johor 2023 melibatkan 33 majikan di bawah PERKESO dan JPDC dan saya yakin nama majikan yang hadir adalah tidak asing di kalangan pencari kerja serta pemain industri.

“Tahun ini penglibatan majikan terdiri daripada pelbagai sektor utama industri di Malaysia seperti minyak dan gas, pembuatan hotel dan pelancongan serta lain-lain.

“Diharapkan para majikan dapat menawarkan penempatan pekerjaan seterusnya akan mendapat tenaga kerja mahir yang memberikan manfaat dan kepentingan kepada semua pihak,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast