KEPALA BATAS – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta kerajaan menetapkan dasar baharu gaji minimum RM2,000 kepada graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET negara berkata, gaji minimum itu munasabah memandangkan graduan TVET adalah pekerja mahir yang telah menjalani kursus kemahiran.
“Kalau lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) masuk ke bidang industri diberikan gaji minimum RM1500 begitu juga dengan dasar majikan seluruh negara untuk graduan TVET.
“Bagaimanapun saya fikir ia tidak adil buat graduan kelulusan TVET memandangkan mereka adalah pekerja yang telah menjalani kursus kemahiran.
“Sehubungan itu, saya harap Perdana Menteri perlu beri dasar baru yang mana graduan keluaran TVET diberikan gaji minimum RM2,000,” katanya ketika berucap pada Program Sesi Bual Bicara Komuniti TVET di Bertam di sini, hari ini.
Tambah Ahmad Zahid, kebolehpasaran graduan TVET yang meningkat kepada 92.5 peratus tahun ini membuktikan insititusi itu bukan peluang pendidikan kedua.
“TVET seharusnya dijadikan keutamaan malah pelajar yang mungkin tidak berprestasi tinggi dalam bidang akademik boleh memilih institusi TVET sebagai platform untuk menyambung pengajian.
“Justeru, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama 10 kementerian lain akan melaksanakan dasar baharu bagi memastikan TVET terus maju bawah pimpinan kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada program sama, Ahmad Zahid turut menyaksikan pertukaran dokumen usahasama antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd (NH EV Tech).
Mou itu adalah satu usahasama menjurus kepada bidang teknousahawan, kajian serta latihan teknikal industri berimpak tinggi di dalam bidang kenderaan elektrik (Electronic Vechicles (EV), lithium bateri dan lain-lain bagi graduan lepasan UniKL. – MalaysiaGazette