KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), bagi menaik taraf bidang pertanian, keterjaminan makanan, perladangan dan agribisnes di negeri Sarawak.
Kerjasama berkenaan akan diperluas ke beberapa bidang strategik lain yang dikenal pasti berpotensi dikembangkan serta berupaya memberi impak tinggi kepada pembangunan
ekonomi dan sosial demi kesejahteraan rakyat negeri itu.
Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, hubungan terjalin antara kedua-dua agensi itu bukan hanya fokus terhadap penyelidikan, malah membuka ruang
untuk kakitangan meningkatkan taraf pendidikan kakitangan serta perkongsian ilmu berkaitan.
“Pihak UMT juga membuka peluang kepada pihak Kementerian Industri Makanan, Komoditi & Pembangunan Wilayah, JPS atau mana-mana agensi dari Sarawak untuk menyemarakkan kerjasama penyelidikan serta menyambung pengajian di UMT melalui program-program yang ditawarkan seperti micro-credential dan APEL dan secara tidak langsung memperolehi ijazah atau kelulusan yang setaraf dengan pendidikan formal demi kemajuan kerjaya kakitangan.
Katanya, UMT sebagai universiti yang memiliki pelbagai hasil kajian dan inovasi dalam bidang kepakaran berkaitan perikanan, akuakultur dan pertanian sentiasa bersedia untuk
diterjemahkan kepada pihak lain demi kepentingan negara.
“Secara umumnya, kerjasama ini dijangka mengetengahkan beberapa inisiatif baharu yang berpotensi besar dalam mengembangkan nilai tambah di sektor pertanian, perladangan dan penternakan, secara langsung dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada import makanan.
“Usaha positif berkenaan dilihat bakal memperkasakan Agenda Keselamatan Makanan Negara yang sangat diperlukan kini bagi tempoh jangka panjang” katanya sambil menambah, hasil penyelidikan yang dijalankan tidak hanya memberikan manfaat kepada komuniti setempat, tetapi juga memperkaya pengetahuan dan inovasi di peringkat nasional.
Sementara itu, Menteri Industri Makanan, Komoditi &Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Anak Utom dalam ucapannya berkata, pihaknya memerlukan kepakaran daripada UMT dalam menjalankan R&D bagi melengkapkan ekosistem bekalan makanan selaras matlamat negeri itu untuk menjadi negeri pengeksport makanan menjelang 2030. – MalaysiaGazette