Zainol (tengah) menyaksikan majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Melaka daripada pemangkunya, Mohamed (kiri) kepada Md Nazri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di Bukit Beruang, di Melaka, hari ini.

MELAKA – Indeks jenayah bunuh, rogol dan samun berkawan tanpa senjata api di Melaka meningkat sehingga 150 peratus tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, kes bunuh mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu daripada empat kes menjadi 10 kes, samun berkawan tanpa senjata api (24) kepada 45 kes, meningkat sebanyak 88 peratus.

Menurutnya, jenayah rogol dalam kalangan remaja dan ahli keluarga juga merekodkan peningkatan 17 peratus daripada 30 kes pada 2022 kepada 35 kes setakat hari ini .

“Kita percaya, peningkatan ini antaranya mungkin berpunca daripada tekanan hidup selain masalah hutang yang sudah pun dijangkakan selepas negara pulih daripada pandemik Covid-19.

“Bagaimanapun secara keseluruhannya, jenayah indeks di Melaka merekodkan penurunan sebanyak 61 kes atau 7.5 peratus termasuklah bagi kes curi, pecah rumah curi, samun tanpa senjata api, mendatangkan cedera parah dan curi motosikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka (IPK), di sini, hari ini.

Majlis menyaksikan penyerahan tugas jawatan itu oleh pemangku sebelum ini, Asisten Komisioner Mohamed Mahat kepada Senior Asisten Komisioner Md Nazri Zawawi.

Mengulas lanjut, Zainol berkata, Polis Kontinjen Melaka akan terus meningkatkan lagi rondaan khususnya di kawasan-kawasan tumpuan awam bagi mengurangkan lagi kes jenayah di negeri ini.

“Selain itu, kita juga berharap masyarakat dapat terus menyalurkan maklumat kepada kepada pihak polis bagi membantu mengurangkan kadar jenayah khususnya menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) tahun hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette