KUALA LUMPUR – Kes dihadapi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor jauh lebih berat kerana ia menyentuh institusi diraja.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, ia berbeza dengan isu membabitkan kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Kes pertuduhan hari ini (Sanusi) ada beza dengan kenyataan dikeluarkan Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Lim Guan Eng. Dalam berita pun boleh tengok semula fakta yang mereka ini tidak ada sentuh institusi diraja,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Bagaimanapun, Razarudin memberitahu, pihaknya tetap memandang serius isu berkenaan dan siasatan kes itu telah selesai 70 peratus.
Sebelum ini, polis merakam percakapan Guan Eng di Pulau Pinang atas dakwaan ‘gelombang hijau’ bakal merobohkan tokong di negeri berkenaan.
Manakala Ahli Parlimen Marang pula mendakwa DAP mahu kekalkan pengertian Islam berdasarkan tafsiran penjajah yang menjunjung liberalisme seperti diamalkan di negara Barat.
Dalam pada itu, Razarudin berkata, penahanan Muhammad Sanusi awal pagi tadi adalah satu kelaziman jika siasatan membabitkan Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 yang membolehkan tangkapan dibuat.
“Kalau tanya saya, bila-bila masa sahaja kita boleh tangkap. Kita ada pertimbangan, kalau kita rasa beliau (Sanusi) tidak hadir ke mahkamah, maka itu sebabnya kita tahan,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, sekiranya tiada tindakan tegas diambil, ia akan menyebabkan sembilan institusi diraja di negara ini terdedah kepada penghinaan seperti pertuduhan hari ini.
Pagi tadi, Sanusi yang didakwa atas dua pertuduhan menghasut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan membabitkan Yang di-Pertuan Agong dalam satu ceramah politik minggu lepas. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Tak angkat semua panggilan polis punca Sanusi ditahan 3 pagi – KPN