Gambar hiasan

KOTA KINABALU – Janin bayi yang masih bertali pusat ditemukan di loji kumbahan sebuah pangsapuri di Inanam dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata janin bayi itu ditemukan oleh seorang pekerja pembersih kumbahan ketika ingin membuat pembersihan loji terbabit pada kira-kira pukul 9.30 pagi, sebelum melaporkan kejadian berkenaan.

Berdasarkan siasatan awal, Mohd Zaidi berkata pekerja kumbahan itu terlihat satu objek yang pada awalnya disangka anak patung di dalam sangkar perangkap sampah.

“Pekerja itu kemudian mengangkat sangkar tersebut dan mendapati ia adalah janin bayi dan bertindak mengeluarkannya kerana bimbang akan dihanyutkan arus deras air kumbahan sebelum memaklumkan hal tersebut kepada penyelia serta membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaidi berkata pihak Jabatan Kecemasan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah telah membuat pemeriksaan awal dan mengesahkan janin bayi berkenaan sudah tidak bernyawa.

Menurutnya, jantina bayi tidak dapat dipastikan, namun berkemungkinan ia adalah bayi lelaki.

Katanya, mayat janin berkenaan telah dihantar ke unit forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi Inspektor Hatikah Ahmad di talian 016-8337243.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast