MELAKA – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan membunuh anak kekasihnya dua minggu lalu.
Tertuduh Muhammad Firman Hakimie Abdul Rahman, 25, bagaimanapun hanya menunduk faham dan tiada pengakuan direkodkan sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun.
Kesalahan itu dilakukan sebuah rumah bernombor di Jalan PE 15, Taman Paya Emas, Cheng dalam daerah Melaka Tengah antara pukul 5.30 pagi hingga 6.30 pagi, 6 Julai lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar manakala tertuduh diwakili Peguam Datuk Hanif Hassan.
Hanif dalam hujahannya memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan satu surat permohonan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan tertuduh dihantar untuk pemeriksaan mental susulan perkara itu dibangkitkan semasa dalam tempoh tahanan reman.
Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, Sharda kemudian menetapkan tarikh 23 Ogos sebagai sebutan semula kes sementara menunggu bedah siasat.
Sementara itu, dalam prosiding di Mahkamah Sesyen, kekasihnya, Nurasyiqin Syaqiqah A Ramlee, 24, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam bagi satu pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan, iaitu ibu kandung kepada kanak-kanak sama telah didapati melakukan pengabaian terhadap mangsa.
Tertuduh didapati mendedahkan anak kandungnya itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi atau membenarkannya dianiaya dengan menyerahkannya kepada Muhammad Firman di tempat, tarikh, masa dan sama.
Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari tidak mencadangkan sebarang jaminan, namun peguam Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh merayu dibenarkan jaminan.
Ia kerana tertuduh dan kakaknya kini menjaga ibu yang tidak sihat selain bersetuju dengan apa-apa syarat tambahan dikenakan.
Selepas mendengar rayuan mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri kepada polis sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Tertuduh juga dilarang mendekati saksi pendakwaan sehingga kes selesai dan mahkamah kemudian menetapkan tarikh 23 Ogos sebagai sebutan semula kes.
MalaysiaGazette pada 7 Julai lalu melaporkan seorang ibu tunggal dan kekasihnya direman bagi membantu siasatan kes bunuh anak lelakinya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Christopher Patit dilaporkan berkata, sebelum kejadian, ibu kandung mangsa menghantar anaknya itu ke rumah teman lelakinya yang bekerja sendiri pada pukul 5.30 pagi untuk berubat selepas kerap muntah-muntah.
Bagaimanapun, kira-kira 40 minit kemudian, teman lelakinya menghubungi kekasihnya memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri akibat terjatuh sebelum kedua-dua mereka membawanya ke Hospital Melaka.
Hasil siasatan awal mendapati lelaki berkenaan mengaku bertindak menendang dan menekan perut mangsa berkali-kali secara agresif selepas mangsa muntah di atas sofa kesayangannya.
Suspek turut mengaku menekan perut mangsa secara agresif berkali-kali selain menendang sehingga kepala mangsa terhantuk ke lantai mengakibatkan tengkorak dan organ dalam perut mangsa pecah. – MalaysiaGazette