Kredit: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berada dalam keadaan sihat selepas selamat menjalani pembedahan pada bahu kanan baginda akibat kecederaan lama di Hospital Pakar Damansara 2 (DSH 2), Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut hantaran terbaru di laman sosial Facebook, baginda memaklumkan prosedur pembedahan berlangsung selama hampir tiga jam.

“Pembedahan berjalan dengan baik dan saya juga berada dalam keadaan baik.

“Saya ingin menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua pasukan petugas perubatan yang terlibat dan juga kepada rakyat yang sentiasa mendoakan kesihatan saya,” titah baginda dalam hantaran tersebut.

Sultan Ibrahim turut berkenan meluangkan masa beramah-mesra bersama pasukan petugas perubatan selepas selesai menjalani pembedahan.

Sultan Ibrahim dijadualkan akan menjalani rawatan susulan radiofrekuensi untuk beberapa hari sebelum baginda berangkat pulang ke Johor.

Doktor pakar ortopedik yang terlibat dalam pembedahan tersebut ialah Dr Tan Chin Khoon, Dr Simmrat Singh Jagdis Singh dan Dr Shamsul Iskandar Hussein.

Turut membantu Dr Naveen Rajadurai (Radiologi) dan dua pakar bius iaitu Dr Zuraini Md Noor dan Datin Dr Vanitha Sivanaser (pakar bius).

Turut bersama dalam pembedahan itu ialah Datuk Dr Subrahmanyam Balan, doktor peribadi Sultan Johor.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast