KUALA LUMPUR – Tiga individu yang ditemui mati dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) malam tadi dilaporkan berhenti di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Yong Peng dipercayai tertidur akibat kepenatan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, hasil siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa yang berumur antara 23 hingga 27 tahun itu dalam perjalanan dari Genting Highlands ke Taman Air Biru, Pasir Gudang.
Mereka menggunakan kereta yang dipinjam dari seorang rakan di Johor Bahru.
Menurutnya, hasil temubual awal dengan beberapa orang saksi yang membantu mangsa dimaklumkan mereka menyedari kereta itu telah diparkir dalam tempoh masa yang agak lama.
Malah, kesemua mangsa tidak bergerak ketika engin dan penghawa dingin kereta masih dihidupkan.
Malah, cermin tingkap bertutup rapat dan kesemua pintu kereta berkunci.
“Setelah semua mangsa tidak memberi tindak balas apabila orang awam mengetuk cermin tingkap dan memanggil dari luar, mereka terpaksa memeecahkan cermin tingkap di bahagian pemandu untuk membuka pintu kereta bagi memberikan bantuan.
“Setelah pintu kereta berjaya dibuka, didapati semua mangsa tidak sedarkan diri dan tidak memberi sebarang tindak balas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kesemua mangsa yang disahkan meninggal dunia telah dibawa ke Hospital Nora Ismail.
Siasatan awal polis mengikut siasatan mati mengejut. – MalaysiaGazette