KUALA LUMPUR – Kerajaan sedia memperbetulkan kesilapan dan menambahkan baik kelemahan yang wujud dalam pentadbiran Putrajaya sepanjang lapan bulan lalu.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, ia sesuai dengan semangat dan mengambil contoh daripada peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah, lebih 1400 tahun lalu.
“Saya menjunjung kasih di atas titah Tuanku, seperti mana kita dengar dalam Tausiah Maal Hijrah, jihad iaitu berusaha sungguh untuk memajukan negara, memperbetulkan keadaan.
“Mana yang salah kita perbetulkan, mana yang kurang kita tambah baik.
“Agenda Malaysia Madani itu Insya-Allah akan menjadi usaha, bukan sahaja kerajaan bahkan dalam kalangan rakyat jelata,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah menghargai usaha kerajaan dalam menggerakkan agenda Malaysia Madani.
Baginda bertitah, usaha itu bagi membentuk masyarakat yang menghayati nilai-nilai ihsan, mendokong prinsip keadilan dan mengamalkan semangat toleransi.
Dalam pada itu, Fahmi juga menyambut baik titah Baginda yang mahu semua pihak menghindarkan diri daripada perasaan hasad dengki, budaya fitnah memfitnah dan negatif.
“Bagi saya titah Tuanku satu peringatan kepada kita semua untuk sentiasa mengamalkan budaya yang lebih baik.
“Peringatan ini tepat pada masanya dan harapan saya agar kita semua mengambil ibrah, pengajaran dan iktibar daripada apa yang telah berlaku,” katanya.
Tambahnya, rakyat Malaysia perlu mengutamakan perpaduan, keharmonian dalam masyarakat dan mengukuhkan pertalian persaudaraan silaturahim.
“Walau apa pun berlaku dan keadaan, kita perlu sentiasa bersatu padu dan usaha ke arah yang lebih baik,” katanya.
Katanya lagi, semua pihak perlu mengelakkan daripada fitnah memfitnah, dan menyentuh perkara-perkara berkaitan dengan 3R.
“Saya harap kita semua patuh kepada undang-undang dan elak daripada memainkan isu 3R dan budaya fitnah memfitnah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette