Oleh: Dr Nurhidayah Abdullah
Ekonomi gig bukanlah suatu yang baharu di Malaysia, malah telah menjadi semakin popular setelah negara dilanda badai COVID-19 yang memperlihatkan banyak perniagaan dan perusahaan gulung tikar dan mengakibatkan ramai hilang pekerjaan dan punca pendapatan. Ekonomi gig merupakan suatu trend pasaran bebas yang memberi kebebasan kepada syarikat untuk membina platform dengan tenaga kerja (pekerja) gig tanpa perlu menjadi pekerja sepenuh masa seperti mana yang ditakrifkan di bawah Akta Kerja 1955.
Terdapat tiga komponen utama di dalam ekonomi gig. Pertama, pekerja bebas yang dibayar berdasarkan tugasan yang diberikan contohnya pekerja yang dibayar berdasarkan tugasan yang dibuat. Kedua, pelanggan yang memerlukan perkhidmatan tertentu daripada pakar dengan mengupah kontraktor bebas dan terakhir sekali, syarikat penyedia platform yang menghubungkan antara pekerja bebas dengan pelanggan menggunakan aplikasi yang dimuat turun dalam peranti masing-masing contohnya Foodpanda, GrabFood serta perkhidmatan seru-pandu iaitu GrabCar.
Komponen ketiga yang dinyatakan ini merupakan komponen yang paling banyak menggerakkan ekonomi Malaysia sewaktu negara di dalam proses pemulihan daripada pandemik Covid-19. Perkembangan ekonomi gig adalah selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang memanfaatkan kemajuaan teknologi, seiring dengan pembangunan Malaysia Madani yang berteraskan kualiti hidup yang lebih baik di samping mengekalkan nilai-nilai murni. Tidak hairanlah jika anak muda kini didapati lebih cenderung kepada ekonomi gig kerana kebolehan mereka untuk mengendalikan teknologi dan daya kreativiti yang tinggi dapat menyumbang kepada kepesatan ekonomi gig.
Ekonomi gig dijangkakan akan terus kekal berada di dalam pasaran dan akan menjadi sebahagian daripada model ekonomi yang wujud atas dasar ‘kecemasan’, contohnya di kala pandemik atau krisis ekonomi. Sesetengah sektor di dalam ekonomi gig tidak memerlukan pekerja untuk mempunyai kemahiran atau kelayakan akademik yang tertentu. Mereka juga menikmati waktu kerja yang anjal dan bebas untuk memilih jenis pekerjaan. Pada masa yang sama, ekonomi gig boleh menawarkan pulangan kewangan yang tinggi dalam masa yang singkat, kerana pekerja boleh menyalurkan perkhidmatan mereka kepada lebih daripada hanya satu cabang dan penyedia platform dalam ekonomi gig.
Berbekalkan kecanggihan teknologi dan inovasi, penyedia platform gig dapat menyediakan banyak lagi peluang pekerjaan sekaligus boleh mengurangkan masalah pengangguran pasca pandemik COVID-19. Majikan juga berpeluang mengurangkan kos operasi dan kos latihan, selain menjadikan syarikat atau perusahaan menjadi lebih efisyen melalui peningkatan produktiviti dan keuntungan. Pelanggan yang menggunakan perkhidmatan mana-mana penyedia platform dalam ekonomi gig dapat menjimatkan masa, mengurangkan kos pengangkutan dan pergerakan dan mendapat perkhidmatan yang dikehendaki dengan cepat. Jelas terbukti, ekonomi gig adalah suatu model ekonomi yang memberikan banyak manfaat kepada pekerja, penyedia platform, dan pelanggan.
Namun mutakhir ini, banyak isu-isu yang timbul ekoran daripada status pekerja gig yang tidak membolehkan mereka untuk diiktiraf sebagai pekerja di bawah Akta Kerja 1955. Pelbagai masalah yang timbul di antara tiga penjuru dalam ekosistem ekonomi gig ini, iaitu penyedia platform, pekerja dan pelanggan yang mendapatkan khidmat melalui penyedia platform tersebut. Kebajikan mereka tidak dijaga, contohnya ada pekerja membuat penghantaran makanan dengan menggunakan motosikal dan terlibat di dalam kemalangan jalanraya. Malangnya tiada insuran khusus untuk melindungi mereka, dan tiada peruntukan untuk menyelenggarakan kenderaan yang ditunggangi.
Ramai di kalangan mereka terasa dianiaya dan terbeban, namun ada yang terpaksa meneruskan bekerja demi kelangsungan hidup yang mendesak. Di sini, wujudnya keperluan untuk mengiktiraf mereka di sisi undang-undang berdasarkan kepada komponen ekonomi gig yang dipilih, dan dipayungi oleh suatu akta yang baharu. Akta pekerja gig yang lebih terperinci seharusnya diadakan untuk melindungi kebajikan mereka, lebih-lebih lagi komponen ketiga yang melibatkan penyedia platform dan pekerja yang mempunyai risiko yang lebih tinggi, jika dibandingkan dengan komponen pertama dan kedua. Pengikitirafan ini selaras dengan hak-hak asasi kemanusiaan yang perlu ditekankan, sekurang-kurangnya meliputi keselamatan sosial, rawatan kesihatan dan keselamatan tempat kerja.
Oleh yang demikian, perlunya ada undang-undang sebagai garis panduan di antara kedua-dua pihak agar kepentingan mereka dapat dijamin, dan turut menguntungkan kedua-duanya termasuklah pelanggan. Garis panduan yang baharu dapat membantu merangsang ekonomi sedia ada, dan selari dengan ciri-ciri masyarakat Madani yang tidak hanya mementingkan diri sendiri, namun mengambil kira persekitaran di sekelilingnya juga.
Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Undang- Undang, Universiti Malaya dan Felo di Universiti Malaya Centre of Regulatory Studies (UMCoRS)