Daripada jumlah itu, sebanyak 16,518 kes berjaya diselesaikan dengan peratus penyelesaian kes sebanyak 64.8 peratus berbanding sasaran awal 45 peratus.
KUALA LUMPUR – Jenayah indeks dalam negara menurun sebanyak 1.1 peratus atau 292 kes dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023, sebanyak 25,482 kes telah direkodkan berbanding 25,774 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Daripada jumlah itu, sebanyak 16,518 kes berjaya diselesaikan dengan peratus penyelesaian kes sebanyak 64.8 peratus berbanding sasaran awal 45 peratus.
Menurutnya, sejumlah 56,677 kertas siasatan telah dibuka sepanjang tempoh itu melibatkan jenayah indeks dan bukan indeks,” katanya semasa berucap dalam Perhimpunan Bulanan KPN di Bukit Aman pagi hari ini.
Turut hadir adalah Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay serta para pengarah-pengarah Jabatan di Bukit Aman.
Tambah Razarudin, sejumlah 31,014 pertuduhan kes atau 54.72 peratus telah dibuat.
Beliau terus meletakkan harapan agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengekalkan momentum yang cemerlang sepanjang separuh tahun kedua ini.
Menyentuh sedikit mengenai Pilihan Raya Negeri di enam negeri pada 12 Ogos ini, Razarudin memaklumkan, seluruh petugas PDRM telah bersiap sedia sedia sepenuhnya untuk memberikan perkhidmatan terbaik pada PRN kali ini.
“PDRM akan berusaha untuk memastikan kebajikan para petugas PDRM sepanjang PRN ini kekal terjaga, insya-Allah.
“Para petugas juga diingatkan agar sentiasa bersikap profesional dan rasional ketika
menjalankan tugas di lapangan, serta bijak mengawal emosi ketika berhadapan dengan
sebarang insiden provokasi,” tegasnya.- MalaysiaGazette