Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah RiÕayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Anugerah Tokoh Antarabangsa Maal Hijrah Mufti Besar India Sheikh Abu Bakar Ahmad Al-Malibari pada Majlis Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 19 JULAI 2023.

Oleh: Dr. Abdul Rashid  Abdul Aziz

MAAL Hijrah merupakan hari penting bagi seluruh umat Islam menyambut tahun baru hijriah. Tahun baru hijriah yang disambut pada tahun ini ialah 1445 hijriah bersamaan 2023 masihi. Bertemakan “Perpaduan Teras Malaysia Madani”, Maal Hijrah kali ini dianjurkan untuk memupuk semangat perpaduan dalam diri setiap masyarakat di Malaysia. Dari kaca mata yang lain, perpaduan merupakan sebuah konsep positif yang mendorong setiap individu untuk bersatu padu dalam melakukan setiap pekerjaan mahupun bersepakat dan bersatu hati dalam perbincangan (musyawarah) dan pembuatan keputusan. Apakah elemen-elemen penting dalam melestarikan perpaduan berterusan? Terdapat beberapa perkara yang membantu pemupukan perpaduan. Antaranya ialah pengamalan nilai hormat antara satu sama lain, meraikan sambutan hari perayaan bersama-sama, aktiviti beriadah, mengelakkan sebarang bentuk provokasi melibatkan isu sensitif kaum, dan penganjuran program kesejahteraan.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, perpaduan membawa maksud penggabungan, kesepakatan dan perihal berpadu menjadi satu. Seiring dengan dasar kerajaan Malaysia Madani dalam membentuk perpaduan, hormat merupakan salah satu rukun madani yang mendukung peradaban manusia untuk bersikap lebih berbudi bahasa, tawaduk, dan bersopan santun. Kesemua sikap yang baik ini perlu diamalkan oleh seluruh rakyat Malaysia dalam menjamin perpaduan. Oleh itu, setiap individu perlu bergabung dalam mencapai semangat perpaduan menerusi penerapan nilai saling hormat-menghormati di antara satu sama lain.

Selain itu, meraikan hari perayaan bersama-sama menjadi simbol perpaduan antara setiap kaum yang ada di Malaysia. Berdasarkan elemen unik masyarakat majmuk yang terdapat di Malaysia, setiap individu perlu mempunyai semangat bersatu padu dengan mengamalkan sikap keterbukaan untuk mempelajari dan mengenali budaya dan sambutan hari perayaan setiap kaum. Justeru, hal ini dapat mengeratkan silaturahim sesama individu berbilang kaum. Menerusi nilai keterbukaan dan kebersamaan menyambut hari perayaan ini juga dapat mencambahkan semangat perpaduan dan  bersatu hati antara satu sama lain. Misalnya perayaan yang sinonim disambut di Malaysia seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Hari Deepavali dan Hari Natal. Perbezaan agama tidak menghalang rakyat Malaysia untuk meraikannya, asalkan sesebuah perayaan yang diraikan itu tidak berlebihan dan bertentangan dengan syarat serta sensitiviti sesuatu agama. Hal ini bertepatan dengan simbolik kata-kata “perbezaan dirai, kemeriahan dikongsi”.

Sementara itu, aktiviti beriadah seperti bersukan juga dapat mewujudkan perpaduan. Hal ini kerana, setiap kaum memiliki aktiviti senaman tersendiri seperti senaman Tai Chi bagi kaum Cina, yoga bagi kaum India, dan aktiviti beriadah seperti berbasikal, mendaki, senamrobik, dan memanah merupakan aktiviti yang boleh dilakukan bersama-sama. Selain itu, aktiviti seperti gotong–royong membersihkan kawasan perumahan dan taman rekreasi awam misalnya juga dapat dilakukan bersama. Dalam hal ini, setiap individu akan melakukan aktiviti bersama-sama, dan dapat mengenali dengan lebih rapat serta mewujudkan kesefahaman antara satu sama lain sekali gus memupuk semangat perpaduan.

Di samping itu, setiap individu disarankan untuk menghormati agama dan hal yang berkaitan isu sensitif kaum masing-masing. Hal ini penting untuk diamalkan kerana setiap perkara yang berbaur provokasi melibatkan isu perkauman akan mengundang masalah besar dan membentuk jurang terhadap perpaduan yang dianjurkan oleh kerajaan. Justeru, setiap individu perlu peka dan memahami elemen yang melibatkan isu sensitif sesebuah kaum dan menghormati hak sesebuah kaum tersebut.

Seterusnya, penganjuran program kesejahteraan juga memberi impak tinggi untuk mengeratkan perpaduan dalam negara Malaysia. Hal ini kerana, kesejahteraan merupakan wadah penting yang ingin dicapai oleh setiap individu dalam menikmati keharmonian dan kemakmuran hidup bersatu padu. Tindakan bijak kerajaan dalam membentuk Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) dan pelbagai rancangan yang diatur dalam Belanjawan 2023 menunjukkan bahawa kerajaan amat komited dalam mengambil kira isu kesejahteraan rakyatnya. Oleh itu, penganjuran program kesejahteraan perlu diperkasakan oleh kerajaan untuk memastikan seluruh rakyat dapat menikmati kemudahan dan bantuan dalam mencapai kesejahteraan bersama.

Jelaslah bahawa perpaduan merupakan elemen penting dalam membangunkan sesebuah negara. Tanpa perpaduan, rakyat akan goyah dan tiada semangat dalam membantu mencapai kesejahteraan negara. Sehubungan itu, bertepatan dengan tema maal hijrah kali ini dapat membantu memberi galakan padu kepada rakyat Malaysia umumnya untuk bersama-sama bergerak seiring mencapai perpaduan sekali gus mencapai kesejahteraan negara dalam mengharungi cabaran dunia digital ini. Bak kata pepatah ‘ berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’. Begitulah amalan yang perlu dipraktikkan oleh setiap rakyat Malaysia.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast