KUALA LUMPUR – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan komited mewujudkan ekosistem peraturan perniagaan yang teguh di negeri ini dengan mengurangkan beban peraturan yang tidak wajar melalui inisiatif MyMudah.
Pengarah MPC Wilayah Pantai Timur, Dr. Noor Aishah Hassan berkata, MyMudah adalah satu inisiatif yang tepat bagi menambahbaik ekosistem peraturan perniagaan, namun ianya perlu sokongan dan kerjasama jitu dari semua pihak.
Peraturan berkualiti pula merupakan antara faktor penting yang menyumbang kepada pertumbuhan produktiviti sesebuah negeri.
“Produktiviti Negeri Kelantan adalah pada kadar RM37,375 pada 2021 berbanding kadar purata RM90,697 di Malaysia. Jurang ini memberi peluang kepada kerajaan negeri melaksanakan penambahbaikan terhadap pertumbuhan produktiviti di Kelantan,” katanya.
Antaranya memudahkan urusan perniagaan, justeru usaha bagi mewujudkan ekosistem peraturan perniagaan yang kondusif harus diberi perhatian khusus oleh semua pihak dalam merealisasikan pertumbuhan produktiviti dan ekonomi negeri”.
Sehingga kini, 100% PBT dan Pejabat Tanah dan Jajahan di Negeri Kelantan telah menubuhkan unit MyMudah masing-masing.
Mereka juga telah dilatih mengendalikan sistem MyMudah sebagai pengawal selia peraturan, serta cara mengendalikan isu berkaitan peraturan yang dikemukakan oleh peniaga.
Usaha yang sama bakal diperluaskan kepada pihak peniaga atau industri, melalui persatuan perniagaan.
MyMudah adalah inisiatif kerajaan bertujuan untuk mengurangkan beban peraturan yang tidak wajar ke atas peniaga.
Melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), kerajaan telah bersetuju dengan penubuhan unit MyMudah di semua kementerian, agensi kerajaan, kerajaan negeri, PBT, serta persatuan perniagaan.
MPC sentiasa komited memastikan semua inisiatif di bawah payung Amalan Baik Peraturan dilaksanakan dengan berkesan agar ekosistem peraturan sentiasa dapat ditambahbaik dari semasa ke semasa, demi pertumbuhan produktiviti yang mampan. – MalaysiaGazette