KUALA TERENGGANU – Kesemua 12 individu, termasuk dua anggota penguatkuasa agensi, yang terlibat dalam sindiket sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa ditahan Suruhanjaya pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, apa yang penting kini ialah dapat menyiapkan kertas siasatan dalam tempoh dua minggu dan ia merupakan janji pengawai penyiasat suruhanjaya itu kepada beliau.

”Saya jangka tak ada tangkapan lagi,” katanya pada sidang media selepas majlis Dialog Ketua Pesuruhjaya SPrM bersama Media Zon Timur, di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Menerusi Op Jaguar oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM di sebuah premis di Klang, Selangor dan di Kuala Lumpur pada Jumaat minggu lalu turut merampas 1.8 tan sisik tenggiling dianggarkan bernilai kira-kira RM23.4 juta.

Menurut Azam, maklumat berkaitan kes itu diperoleh menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar negara dan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dan menerusi kerjasama itu pihaknya dapat menyekat sindiket terbabit.

Sementara itu, beliau memberitahu, menemui empat tan sisik tenggiling yang cuba dimusnahkan oleh dalang sindiket antarabangsa itu. – MalaysiaGazette