Pegawai kanan polis kontinjen KL ditahan SPRM selepas disyaki melindungi aktiviti haram di sekitar ibu negara.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang lelaki warga tempatan yang pernah dikesan sebelum ini kerana disyaki terlibat dengan sindiket menyeludup dan melupuskan sisik tenggiling serta terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Menurut sumber, suspek berusia dalam lingkungan awal 40-an itu dipercayai ditahan di ibu pejabat SPRM kira-kira jam 6 petang, dua hari lalu.

Susulan penahanan tersebut, Majistret Nor Syakirah Che hashim telah membenarkan suspek direman selama empat hari bermula 19 hingga 22 Julai 2023 setelah SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Shah Alam, semalam.

Sebelum ini, SPRM telah menahan reman empat individu dimana tiga daripada mereka ditahan reman selama empat hari dan seorang lagi dua hari hasil serbuan dijalankan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM menerusi Op Jaguar di sebuah premis di Klang, Selangor dan di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin yang mengesahkan penahanan lelaki tersebut berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. – MalaysiaGazette