SEREMBAN – Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu akan mengemukakan rayuan terakhir bagi memohon pertimbangan agar kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng kekal ditandingi calon partinya.
Beliau berkata, setakat ini, Amanah masih lagi berusaha mempertahankan kerusi tersebut walaupun terdapat ura-ura Barisan Nasional (BN) ingin meletakkan calonnya.
“Memang sewajarnya kerusi itu kerusi Amanah, memang sewajarnya letak Amanah pun.
“Tetapi keputusan akhir kepada pengerusi parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, kami akan patuh,” katanya kepada pemberita Program Santai Peladang Bersama Pemimpin Peladang 2023 (Zon Tengah) di sini, hari ini.
Kerusi DUN Lenggeng sebelum ini dikenali sebagai salah satu kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan, namun jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) yang diwakili Amanah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
BN akan mengumumkan calon-calon yang bertanding dalam enam pilihan raya negeri (PRN) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malam ini.
Mohamad memberitahu, keputusan akhir berhubung status Amanah di kerusi DUN Lenggeng akan ditentukan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Mereka menentukan, kita ikut keputusan itu,” jelasnya.
Ketika ditanya berhubung kemungkinan berlaku pertukaran kerusi antara Amanah dan UMNO, Mohamad menyatakan, beliau tidak mendengar perkara itu. – MalaysiaGazette