Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada sidang media selepas Sambutan Hari Imigresen 2023 di Dataran Pahlawan, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 21 JULAI 2023.

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia akan membuka pusat-pusat sehenti untuk menjalankan proses verifikasi permohonan pekerja asing oleh majikan dalam Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 bermula dari 15 Ogos ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pusat sehenti itu akan disediakan untuk melakukan proses verifikasi dan pengesahan kepada permohonan dan pendaftaran pekerja asing oleh majikan dalam program RTK 2.0 itu.

Katanya, ia merupakan ikhtiar tambahan imigresen yang akan  memudahkan proses pemutihan pekerja asing di negara ini.

“Pusat Sehenti verifikasi permohonan RTK ini akan dibuka di beberapa lokasi terpilih kawasan Lembah Klang bermula daripada ibu pejabat JIM Putrajaya.

“Pembukaan pusat sehenti seterusnya akan dilaksanakan secara berperingkat di lokasi-lokasi terpilih yang akan diumumkan JIM dari semasa ke semasa.

“Dengan kaedah ini akan memudahcara urusan majikan yang telah mendaftar serta mempercepatkan urusan proses RTK 2.0 agar boleh hadir bersama pekerja yang berdaftar dengan hanya perlu walk in tanpa menunggu panggilan untuk proses temu janji,” katanya dalam sidang media di sini.

Beliau berkata demikian selepas hadir menyempurnakan Sambutan Hari Imigresen 2023 bertemakan ‘Imigresen Perkasa Sejahtera Negara’ dengan turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain@Abd Rasid dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh di Dataran Pahlawan Negara.

Tambah beliau, dengan kemudahan menerusi pusat sehenti RTK ini, para majikan yang sudah memohon dan berdaftar dengan RTK 2.0 itu perlu membawa pekerja asingnya untuk menjalani proses verifikasi dan kelulusan agar dia menjadi pekerja asing yang sah.

Katanya, menjadi tanggungjawab majikan kena membawa pekerja asing yang sedia digajilam untuk menjalani proses verifikasi iaitu pengambilan imbasan cap jari biometrik, ujian kesihatan dan sebagainya untuk diluluskan sebgai pekerja sah.

Sejak Januari hinga Julai tahun ini JIM menerima dan mendaftarkan sebanyak 379,668 permohonan melibatkan 51,753 majikan dan 720,099 pekerja dalam program RTK 2.0.

“Daripada jumlah daripada jumlah ini seramai 203,677 pekerja sudah selesai membuat proses verifikasi yang diwajibkan untuk kelulusan sebagai pekerja sah.

“Selebihnya seramai 516,422 pekerja pula adalah menjadi tanggungjawab majikan membawa mereka tampil untuk menjalani verifikasi.

“Sehingga mereka lulus verifikasi dan mendapat pas lawatan kerja sosial (PLKS) barulah dianggap pekerja sah di sisi undang-undang negara ini.

“Selagi proses ini tidak selesai, pekerja asing yang didaftarkan oleh majikan tidak boleh bekerja lagi serta jika penguatkuasaan muncul mereka akan ditangkap dan diambil tindakan.

“Jika majikan tidak mahu menghadapi masalah ini sila tampilkan pekerja asing untuk verifikasi dan kelulusan,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast