KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Zafrul Abdul Aziz tidak tersenarai sebagai calon untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada 12 Ogos depan.
Ini sekali gus menjawab desas-desus bahawa Ketua UMNO Kota Raja itu antara yang dipertaruhkan pada pilihan raya di negeri tersebut.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki ketika mengumumkan senarai nama calon rasmi memaklumkan sebanyak 12 kerusi dipertandingkan oleh BN bagi DUN Selangor.
Dalam senarai itu, BN mempertaruhkan beberapa nama besar termasuk Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di bawah Parlimen Rembau, bekas Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di DUN Bertam, Pulau Pinang.
Dalam masa sama, seorang lagi muka lama adalah Datuk Seri Jalaludin Alias, yang juga Ahli Parlimen Jelebu yang akan memberi saingan di kerusi DUN Pertang.
Selain itu, dua bekas Menteri Besar Terengganu iaitu Datuk Seri Ahmad Said akan bertanding di DUN Kijal manakala Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di Seberang Takir.
Terdahulu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan seramai 108 calon BN akan bertanding daripada 245 kerusi yang terdapat pada PRN di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan serta Terengganu.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 63 peratus adalah muka-muka baharu, dengan 18 peratus penyandang, manakala kira-kira 20 peratus adalah mereka yang pernah bertanding sebelum ini.
Lagi menyusul…