KUALA LUMPUR – Senarai nama calon Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi keenam-enam negeri dikemukakan oleh Badan Perhubungan Negeri masing-masing, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau yang mengulas mengenai ketiadaan nama Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Tengku Datuk Zafrul Abdul Aziz berkata, proses tapisan calon adalah di peringkat perhubungan negeri sebelum nama calon diserahkan kepada kepimpinan pusat BN.
“Jadi terpulang kepada Badan Perhubungan (negeri) masing-masing untuk menamakan (calon) tapi di sini menyaring dan mana yang sesuai.
“Kita (kepimpinan utama BN) bincang semula dengan Badan Perhubungan dan secara persetujuan bersama kita akan memilih calon terbaik wakili parti,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis pengumuman calon BN PRN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini, malam tadi.
Ditanya sama ada terdapat pertambahan nama calon pada saat-saat akhir, Mohamad tidak menolak kemungkinan ia boleh berlaku.
“Kadang-kadang watikah (calon) tukar, jadi kita tak tahu (sama ada bertambah atau tidak),” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, hanya satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu yang belum diumumkan malam ini.
“Cuma ada satu DUN yang kita belum namakan di Terengganu kerana kita buat saringan-saringan tertentu, seperti biasa,” jelasnya yang juga Timbalan Presiden UMNO.
Bagaimanapun, Mohamad tidak memperincikan kerusi DUN mana yang masih tidak diisi oleh parti itu. – MalaysiaGazette
kaki berjanji dan bersumpah kan ada.. semua percaya kebolehan dia.. sekarang MATA dia semakin terang berkilau… serahkan padanya