Fuziah Salleh melancarkan Jualan Daging Rahmah pada harga RM27 sekilo berbanding RM38 harga pasaran di Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG PERAI – Kerajaan yakin modul Jualan  Rahmah Bergerak mampu menarik lebih ramai pemain industri untuk menurunkan harga barang pada masa akan datang,” ujar Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh,

Ia susulan timbul persoalan mengapa harga barangan lebih rendah di Jualan Rahmah Bergerak berbanding harga pasaran.

Fuziah.

Menurut Fuziah, negara ini mengamalkan pasaran ekonomi terbuka dan terdapat banyak halangan disebabkan industri sendiri menetapkan harga barangan di pasaran luar.

Jelasnya, situasi itu berbeza bagi jualan Rahmah Bergerak yang mana kerajaan yang yang menetapkan harga barangan dijual dengan kerjasama rakan strategik.

“Kita tak boleh kawal harga pasaran luar kerana ia ditetapkan oleh pemain industri namun kerajaan faham keadaan kos sara hidup rakyat membuatkan kita laksana modul Jualan Rahmah Bergerak di seluruh negara.

“Sebelum ini harga barangan bergantung pada pemain industri namun selepas kita bekerjasama dengan rakan strategik yang mahu mendukung aspirasi kita mampu memberikan pengurangan harga barang antara 20 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran kepada rakyat,” katanya ketika ditemui di Program Jualan Rahmah Bergerak di Tapak Ekspo Seberang Jaya di sini, hari ini.

Pada program itu, Fuziah melancarkan Jualan Daging Rahmah yang mana daging tempatan dijual pada harga RM27 sekilo berbanding RM38 harga pasaran.

Pengurangan harga sebanyak 30 peratus itu ditanggung masing-masing 15 peratus oleh kerajaan dan pembekal daging.

Mengulas lanjut Fuziah berkata, pihaknya yakin modul jualan Rahmah Bergerak ini mampu menarik lebih ramai pemain industri untuk turut sama menurunkan harga barang.

“Kita percaya dan yakin bila kerajaan buat modul sebegini (Rahmah) lama-lama pemain industri akan ikut sama (jual murah),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast